Exco Johor tolak sabotaj punca pencemaran ammonia di Sg Muar

Bacaan tinggi ammonia mula dikesan di Sungai Muar pada 1.30 tengah hari semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Exco Johor, Jimmy Puah Wee Tse menolak unsur sabotaj sebagai punca pencemaran ammonia di Sungai Muar yang menjejaskan bekalan air 7,000 isu rumah di Muar sejak petang semalam.

Katanya, punca pencemaran masih dalam siasatan, walaupun tahap ammonia sudah berkurangan selepas pencairan dilakukan.

Beliau meminta semua pengguna bersabar dan pihaknya akan bekerja keras memastikan bekalan air pulih sepenuhnya di kawasan terjejas.

“Badan Kawal Selia Air Negeri Johor dan Ranhill SAJ Sdn Bhd akan mengadakan mesyuarat lanjut untuk membincangkan bila kami boleh mencapai pemulihan penuh dan menyambung semula bekalan air kepada kawasan terjejas.

“Perkembangan lanjut akan diberikan selepas mesyuarat tengah hari ini,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Pencemaran ammonia menyebabkan bekalan air bagi 35,000 pengguna di Muar terjejas selepas bacaan tinggi ammonia mula dikesan di Sungai Muar pada 1.30 tengah hari semalam.