Inkues diberitahu imigresen beri pelajar Nigeria ubat dalam tahanan

Rajesh Nagarajan mewakili keluarga pelajar Nigeria, Orhions Ewansiha Thomas.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu inkues menentukan punca kematian Orhions Ewansiha Thomas yang Jabatan Imigresen memberi ubat kepada pelajar Nigeria itu ketika dalam tahanan.

Jurugambar polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kamarulzaman Jamuie berkata seorang pegawai imigresen memberitahu perkara itu kepadanya apabila beliau pergi ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk mengambil gambar tempat kejadian atas arahan pegawai penyiasat, Noorsuhana Shamsudin.

“Saya tidak ingat nama kakitangan imigresen itu yang beritahu saya mengenainya, tetapi kakitangan itu ialah seorang pegawai perubatan.”

Ditanya peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga Thomas jika beliau mengambil gambar ubat itu dari jarak dekat, saksi berkata beliau tidak berbuat demikian.

“Pegawai penyiasat hanya minta saya ambil gambar tempat ubat itu disimpan.”

Seorang lagi saksi, Wan Mohamad Fuad Wan Muda yang juga dari IPD Cheras memberitahu inkues itu beliau menerima laporan kematian Thomas pada 12.42 pagi 9 Julai lalu.

Saksi ke-2 inkues, Wan Mohamad Fuad Wan Muda dari IPD Cheras.

Katanya, pengadu yang dikenali sebagai “Ashikin” memaklumkan polis, seorang lelaki berusia 34 tahun tidak sedarkan diri di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

“Ashikin turut memaklumkan seorang pembantu perubatan di tempat kejadian mengesahkan lelaki itu sudah mati, tetapi beliau tidak beritahu punca kematian.”

Fuad berkata, beliau kemudiannya meminta 3 pegawai bertugas ke pusat tahanan itu kerana Ashikin berkata Jabatan Imigresen memerlukan bantuan polis.

Saksi ke-3, Mohd Nur Izwan Semedi berkata, beliau mengambil gambar proses bedah siasat Thomas di Jabatan Patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Katanya, beliau mengambil 54 gambar ketika proses bedah siasat, tetapi pegawai pengendali Nurliyana Mohd Jafri memberitahu hanya 51 gambar diserahkan kepada mahkamah.

Izwan berkata, beliau mungkin tersilap dan tertinggal 3 gambar lain.

Koroner Mahyon Talib kemudian menegur Izwan mengenai kualiti gambar yang kelihatan “kabur”.

“Saya sertai banyak prosiding inkues dan biasanya gambar bedah siasat sangat jelas.”

Inkues itu akan bersambung 7 Jan ini.

Balu Thomas, Blessing Uhunoma Eriamiator memfailkan permohonan untuk kerajaan mengadakan inkues bagi mencari punca kematian suaminya yang didakwa dipukul dan tidak diberikan rawatan ketika dalam tahanan.

Thomas, 34, yang merupakan pelajar Ijazah Kedoktoran Pengurusan di Universiti Limkokwing, ditahan bersama 19 warga asing lain dalam Ops Bersepadu di Pangsapuri Desa Aman Puri, Kepong, pada 4 Julai lalu, susulan aduan orang ramai mengenai kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.

Pada 12 Julai lalu, Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, Thomas diserang sawan ketika sedang tidur sebelum meninggal dunia ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai lalu.

Katanya, Jabatan Imigresen melayan tahanan dengan berhemah dan mengikut prosedur operasi standard.

Menurutnya, Thomas direman di depot itu selama 2 minggu untuk membantu proses pengesahan dokumennya dan butiran rekod institusi pengajiannya.