Isu politik tempatan tidak jejas pelaburan asing, kata Invest Penang

Pengarah Invest Penang dan penasihat khas ketua menteri Pulau Pinang, Lee Kah Choon pada satu sidang media di Bayan Baru hari ini.

GEORGE TOWN: Agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing hari ini berkata, iklim politik semasa seperti isu pertukaran perdana menteri tidak memberi kesan ke atas pelaburan asing langsung (FDI).

Pengarah Invest Penang Lee Kah Choon berkata, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Beliau berkata, walaupun sesetengah rakyat Malaysia beranggapan bahawa naratif politik negara bersifat negatif dan berasa bimbang ia memberi kesan terhadap FDI, namun pelabur asing tidak berfikir begitu.

“Riuh rendah politik itu mungkin tidak cukup kuat untuk menghalang kemasukan pelaburan. Saya percaya dalam tempoh jangka pendek sekali pun, walaupun perkembangan politik yang berlaku mungkin negatif, tetapi ia tidak memberi kesan ke atas pelaburan dunia dalam jangka panjang,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Lee menjawab soalan sama ada rancangan pertukaran perdana menteri dan isu politik tempatan lain memberi kesan ke atas keputusan yang dibuat pelabur asing.

Katanya, kos operasi rendah dan bekalan tenaga mahir yang luas di negara ini, terutama dalam sektor pembuatan, adalah antara sebab Malaysia dilihat menarik dalam kalangan pelabur.

Beliau berkata, walapun Singapura merupakan destinasi utama FDI di Asean, namun ia kekurangan ruang dan mempunyai bekalan tenaga mahir yang terhad dalam sektor pembuatan.

Katanya, Vietnam sekali pun, walapun dianggap sangat digemari oleh pelabur, tidak mempunyai bekalan pekerja mahir yang mencukupi, terutama dalam sektor pembuatan.

Malaysia sebaliknya “melahirkan” tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) selama beberapa dekad, dengan proses pemindahan teknologi kepada pekerja tempatan telah berjalan, terutamanya di Pulau Pinang.

Beliau berkata, pelabur asing juga menyukai Malaysia kerana ramai dalam kalangan mereka telah berjaya di negara ini kerana Malaysia menawarkan insentif kerajaan yang baik serta bekalan tenaga mahir bagi menyokong pelaburan mereka.

Lee merujuk kepada “kawasan peralatan perubatan utara” terdiri daripada Pulau Pinang, Sungai Petani, Kulim dan Taiping di mana terdapatnya banyak syarikat antarabangsa.

Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia perlu mengatasi jangkaan kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor pembuatan teknologi pada tahun-tahun akan datang.

Katanya, walaupun Malaysia mempunyai 50,000 graduan kejuruteraan setiap tahun, namun hanya 20% mengkhusus dalam bidang pembuatan.

Beliau berkata, lebih banyak langkah perlu diambil bagi mengatasi keadaan itu.

Lee berkata, walaupun terdapat beberapa insentif kerajaan dalam Belanjawan 2020 untuk menarik FDI, namun fokus perlu diberikan kepada usaha membangunkan kemahiran.

Katanya, dengan selesainya fasa pertama perjanjian perdagangan AS-China baru-baru ini, aliran keluar syarikat dari China mungkin akan merosot.

Terdahulu, Lee memaklumkan angka pelaburan yang diluluskan yang lebih baik di Pulau Pinang bagi 2019, yang menurutnya akan mencecah angka RM14 bilion, yang didorong terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik yang lebih besar.

Lee berkata, ia didasarkan kepada angka RM13.3 bilion daripada pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan dari Jan hingga Sept tahun lepas, iaitu peningkatan 247% dari tahun ke tahun, berbanding RM5.8 bilion padia 2018.

Ia juga berjaya mencipta 15,000 pekerjaan baru, katanya.

AS merupakan pelabur terbesar di Pulau Pinang sebanyak RM6.6 bilion, diikuti oleh Singapura (RM1.8 bilion), United Kingdom (RM1.5 bilion) dan Taiwan RM880 juta.

Lee berkata, sasaran konservatif RM5 bilion dalam FDI ditetapkan untuk tahun ini, dengan menambah bahawa sasaran itu dikira berdasarkan angka purata dari 2009 ke 2019.

“Kami menjangka pelaburan lebih rendah pada 2020.”