Jabatan kesihatan negeri sedia laksana penguatkuasaan larangan merokok

Bermula semalam, orang ramai yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat makan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250.

PETALING JAYA: Bermula semalam, larangan merokok di kawasan larangan termasuk tempat makan dikuatkuasakan di seluruh negara, selepas 12 bulan penguatkuasaan pendidikan dijalankan bermula 1 Jan 2019.

Tempoh setahun penguatkuasaan pendidikan itu dilihat memadai untuk mendidik masyarakat supaya tidak merokok khususnya di tempat makan dan rata-rata jabatan kesihatan negeri bersedia melaksanakan penguatkuasaan penuh bermula semalam.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya yakin maklumat tentang penguatkuasaan bermula 1 Januari 2020 sampai kepada semua rakyat termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kita buat penerangan yang cukup kepada masyarakat, kita juga buat kempen dan sebagainya, saya rasa media juga telah dedahkan tentang penguatkuasaan ini.

“Kita sampaikan maklumat secara menyeluruh kepada semua rakyat di Pahang termasuk kawasan Felda. Pengusaha makanan pun faham kerana kita menampal notis larangan di semua premis makanan, jadi langkah pendidikan itu sebenarnya sudah kita laksanakan,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan semua pegawai kesihatan di Pahang bersedia melakukan operasi penguatkuasaan.

Menurut Sha’ari, pemantauan di Pahang akan digerakkan di semua premis termasuk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, pihaknya perlu sentiasa berwaspada dengan kesan yang mungkin diterima pegawai-pegawainya akibat daripada penguatkuasaan tersebut.

“Kita bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku, kita nak laksanakan ini bukan kerana kita ada kuasa, tetapi untuk mengubah tabiat tidak merokok di premis makanan,” katanya.

Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Sirajuddin Hashim turut memaklumkan pihaknya telah menyampaikan maklumat mengenai larangan merokok di premis makanan ke seluruh negeri dan masyarakat menyedari akan perkara tersebut.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya tidak berdepan banyak masalah sebaik sahaja penguatkuasaan bermula.

“Setakat ini tidak ada masalah sebab lebih 90% kawasan di negeri ini kita jelajah untuk beri penerangan, termasuk kawasan pedalaman dengan mengadakan program-program kesihatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata penguatkuasaan di kawasan pendalaman khususnya membabitkan premis tidak berdaftar memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Di kawasan bandar kedudukan penduduk tersusun dan teratur, tetapi di luar bandar banyak warong-warong persendirian, jadi kita perlukan sedikit masa untuk sampai di kawasan tersebut dan melaksanakan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata buat permulaan, pihaknya akan memfokuskan penguatkuasaan di premis berdaftar terlebih dahulu.

“Kalau di premis berdaftar, di sana memang sudah diletakkan notis larangan merokok. Kalau pengunjung merokok juga maknanya mereka tidak patuh kepada larangan dan tindakan sudah tentu akan diambil.

“Bagi premis tidak berdaftar yang tumbuh bagai cendawan, kita akan pantau juga dan jika ada keperluan, tindakan akan diambil, kita tidak redah sebarangan,” katanya.

Nor Azimi berkata, walaupun pihaknya bersedia melakukan penguatkuasaan, namun untuk melakukan pemantauan pada setiap masa di semua lokasi adalah mustahil kerana kekangan pegawai.

Sehubungan itu, kesedaran mengenai keburukan tabiat merokok perlu ada dalam diri setiap masyarakat agar mereka secara automatik akur kepada peraturan yang ditetapkan.

“Jabatan kesihatan kena kerja keras setiap masa. Saya jangka bulan Januari tiada masalah untuk orang ramai patuh kepada larangan tersebut, namun apabila memasuki bulan ke-2 yang ketika itu penguatkuasaan mungkin sedikit longgar, mereka akan kembali kepada tabiat lama.

“Kita mahu mereka patuh bukan sebab ada pemantauan daripada penguatkuasa, tetapi kita mahu mereka patuh atas kesedaran sendiri bahawa tabiat merokok tidak baik untuk kesihatan dan mereka perlu menghormati orang di sekeliling,” katanya

Bagi Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Norhizan Ismail pula, semua pihak perlu memainkan peranan penting lebih-lebih lagi pemilik premis kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan sekiranya membiarkan pelanggan merokok di premis mereka.

“Di Kedah kita yakin semua maklumat tentang larangan merokok sampai kepada masyarakat, kita minta semua pihak mainkan peranan.

“Kita beri kesedaran kepada pemilik premis tentang tangungjawab mereka, kegagalan mereka memastikan premis bebas daripada perbuatan merokok boleh menyebabkan mereka turut dikompaun,” katanya sambil memaklumkan lebih 90% premis makanan di Kedah diletakkan notis larangan merokok termasuk kawasan pedalaman.

Bermula 1 Jan 2020, orang ramai yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat makan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Pemilik premis juga boleh dikenakan kompaun RM250 sekiranya gagal memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.