Kaunter perladangan dibuka tinggi selepas India turun duti import sawit

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kaunter berkaitan perladangan di Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi tadi susulan sambutan baik pelabur terhadap langkah India menurunkan duti import ke atas minyak sawit mentah dan bertapis dari negara Asia Tenggara berkuat kuasa semalam.

Pada 12.30 tengah hari tadi, semua 3 kaunter berkaitan perladangan di FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) – KLK, Sime Darby Plantation dan IOI Corporation – ditutup tinggi susulan berita menggembirakan industri berkenaan.

KLK yang juga kaunter paling untung di bursa tempatan, melonjak 42 sen kepada RM25.22, Sime Darby Plantation naik 3 sen kepada RM5.48, manakala IOI Corporation menokok 2 sen kepada RM4.63.

Prestasi positif saham mewah berkaitan perladangan itu, selain minat belian berterusan turut dilihat di kebanyakan kaunter berkaitan, sekaligus menyaksikan penanda aras FBM KLCI ditutup pada 1,595.83, menambah 7.07 mata berbanding 1,588.98 pada penutupan Selasa.

Selepas dibuka pada 1,590.98, indeks utama bergerak antara 1,590.98 dan 1,597.34 sepanjang dagangan pagi.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 492 berbanding 298, manakala 352 kaunter tidak berubah, 833 tidak diniagakan dan 13 lagi digantung.

Sebanyak 1.77 billon saham bernilai RM851.90 juta didagangkan.

Bursa Malaysia ditutup pada Rabu sempena cuti umum tahun baru.

Antara saham wajaran tinggi ialah Petronas Chemicals melonjak 10 sen kepada RM7.45, IHH menambah 8 sen kepada RM5.55, CIMB menokok 5 sen kepada RM5.20, Petronas Gas meningkat 24 sen kepada RM16.86 dan Public Bank menambah 12 sen kepada RM19.56.

Kaunter aktif ialah Vivocom dan warannya, masing-masing meningkat 1 sen dan 0.5 sen kepada 2.5 sen dan 1 sen, manakala Bumi Armada meningkat 1.5 sen kepada 54.5 sen, TDM menokok 0.5 sen kepada 42.5 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada 27 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 46.71 mata kepada 11,370.20 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 49.34 mata kepada 11,997.26.

Indeks FBMT 100 menokok 45.02 mata kepada 11,159.57, FBM 70 menambah 39.26 mata kepada 14,246.07, manakala FBM Ace meningkat 153.09 mata kepada 5,379.68.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perusahaan meningkat 1.47 mata kepada 154.87, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 37.28 mata kepada 15,501.45 manakala Indeks Perladangan meningkat 27.72 mata kepada 7,761.09.