Kimanis bukan Tanjung Piai, Shafie tolak dakwaan Umno

Presiden Warisan Shafie Apdal bercakap kepada media semasa pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Membakut hari ini.

MEMBAKUT: Presiden Warisan Shafie Apdal menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa ia boleh mengulangi kemenangan besar di Tanjung Piai dalam pilihan raya kecik Kimanis.

Ketua menteri Sabah itu berkata, sentimen di Sabah dan Semenanjung Malaysia tidak sama.

“Pengundi di Tanjung Piai tidak sama, penduduk Kimanis berbeza. Di sana (Tanjung Piai) mereka ada jalan raya yang baik, tetapi di sini kita ada jambatan gantung dan jalannya berlumpur, perbezaannya besar,” kata Shafie ketika melancarkan jentera pilihan raya Warisan di sini hari ini.

Shafie berkata, PRK Kimanis penting bagi rakyat Sabah, terutama penduduk di Kimanis.

“Ia pilihan raya kecil, tetapi maknanya besar kerana ia akan menunjukkan bahawa rakyat Sabahlah akan menentukan masa depan Sabah, bukannya ditentukan oleh BN atau Umno,” katanya.

Semalam, presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerjasama Muafakat Nasional mendapat sokongan seperti dilihat pada kemenangan calon MCA Wee Jeck Seng dalam PRK Tanjung Piai dengan memperolehi majoriti besar lebih 15,000 undi.

Dalam pada itu Shafie berkata, beliau tidak akan melayan pembangkang seperti yang dilakukan kepada Warisan ketika ia menjadi pembangkang.

“Sewaktu berkempen pada pilihan raya umum lepas, saya tidak dibenarkan menggunakan dewan di Semporna,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

“Tetapi saya telah beritahu pegawai daerah supaya tidak menghalang mereka (pembangkang) daripada menggunakan dewan.”

Shafie berkata, semua parti komponen, termasuk PPBM Sabah, telah bersetuju untuk menyokong calon Warisan Karim Bujang bagi memastikan kemenangan di Kimanis.

Hubungan antara Warisan dan PPBM kurang baik selepas ia (PPBM) melanggar janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk tidak masuk ke Sabah.