Lebih 165,000 pendatang asing dihantar pulang dalam program ‘Back For Good’

Jabatan Imigresen Putrajaya dibanjiri pendatang asing tanpa izin yang mahu pulang di bawah program ‘Back for Good’ pada 27 Dis lalu. Mereka mengambil kesempatan untuk pulang tanpa sebarang pendakwaan atas kesalahan datang dan bekerja secara haram di bawah Akta Imigresen 1959/63. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seramai 165,040 daripada 195,471 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berdaftar dalam program “Back For Good” (B4G) berakhir kelmarin dihantar pulang ke negara masing-masing.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, baki 30,431 orang masih menunggu dihantar pulang ke negara masing-masing bergantung kepada tarikh tiket penerbangan mereka.

“Warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar antara 3 negara mencatatkan rekod pendatang tanpa izin tertinggi yang berdaftar di bawah program ini dengan kebanyakannya terdiri daripada pekerja,” katanya selepas mengetuai operasi di Puchong semalam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan program itu yang bermula Ogos tahun lepas, Jabatan Imigresen turut menerima pelbagai aduan berhubung kewujudan “ulat” atau ejen yang mendakwa berperanan sebagai perantara bagi mempercepatkan proses urusan pendaftaran program itu.

Berikutan itu, Khairul Dzaimee berkata, 5 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing ditahan untuk diambil keterangan kerana dipercayai menjadi perantara atau ejen bagi menguruskan pendaftaran program berkenaan.

“Mereka didapati melakukan kegiatan itu (sebagai perantara) di pejabat Imigresen di Putrajaya dan Kuala Lumpur.”

Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin mengumumkan program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Dis lalu bertujuan mengurangkan bilangan Pati di negara ini.

Golongan itu hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan pejabat pesuruhjaya tinggi negara masing-masing sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen dan membayar kompaun RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal.

Sementara itu, Khairul berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan di pintu masuk bagi mengatasi masalah kemasukan Pati, termasuk mengesan pelancong China dan India yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

“Kita akan pastikan warga asing yang masuk menggunakan pas lawatan sosial mempunyai tempat tinggal dan mempunyai kewangan kukuh bagi menampung perbelanjaan mereka.

“Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan tiket penerbangan pulang ke negara asal sebagai syarat menggunakan pas lawatan sosial di negara ini.”

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 2 mendedahkan lebih 95% pelancong China dan India yang melawat negara ini dari 2016 sehingga 2018 tidak mempunyai rekod tarikh keluar.