Lebih kuasa untuk Umno Sabah, kata Zahid menjelang PRK Kimanis

Ahmad Zahid Hamidi.

KIMANIS: Daripada royalti minyak hingga ke perkhidmatan awam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan autonomi penuh kepada Umno Sabah menjelang pilihan raya kecil Kimanis bulan ini.

Zahid berkata autonomi itu, disamping kuasa lebih luas yang diberi kepada Umno Sabah pada November tahun lepas, akan membolehkan kepimpinan negeri memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, menuntut royalti minyak lebih tinggi, peruntukan persekutuan, serta lebih ramai rakyat Sabah dilantik ke perkhidmatan awam.

“Semua ini komitmen Umno kepada Umno Sabah. Kita tidak ambil ringan perkara ini kerana ia melibatkan sensitiviti semua rakyat Sabah, kepercayaan mereka dan kumpulan etnik,” katanya pada satu majlis di Kampung Pimping, Membakut.

Beliau berkata Umno Sabah sudah mempunyai autonomi dalam hal pemilihan calon pilihan raya dan ketua menteri.

“Mereka juga membuat keputusan mengenai projek-projek yang hanya orang Sabah tahu sama ada diberi keutamaan atau tidak.”

Katanya, jika Umno kembali menjadi kerajaan persekutuan, ia akan memastikan semua peruntukan untuk negeri itu disalur terus ke perbendaharaan negeri.

Zahid, yang juga pengerusi BN, berada di Sabah untuk berkempen bagi calon gabungan itu, Mohamad Alamin.

Kerusi Parlimen itu boleh dikatakan kubu kuat BN, yang pernah dimenanginya selama 3 penggal menerusi bekas menteri Anifah Aman. Ia diisytiharkan kosong selepas Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membatalkan kemenangannya pada pilihan raya umum 2019.

Zahid berkata beliau faham kekangan kerajaan dalam memenuhi tuntutan Sabah, tetapi Pakatan Harapan tidak akan dapat memenuhi permintaan negeri itu.

“Apa yang kami tawarkan autonomi sebenar,” tambahnya.