Maszlee letak jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa esok

PUTRAJAYA: Maszlee Malik hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa 3 Jan.

Pada sidang akhbar di Kementerian Pendidikan sebentar tadi, Maszlee berkata beliau meletakkan jawatan atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Mahathir kerana memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi Kementerian Pendidikan. Ia hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia.

“Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti saya PPBM.

“Atas nasihat perdana menteri dan atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang redha walaupun berat, saya Maszlee Malik dengan ini menyerahkan semula jawatan sebagai menteri pendidikan Malaysia berkuatkuasa 3 Jan 2020,” katanya.

Selepas mengumumkan peletakan jawatan, Maszlee hanya mengambil 3 soalan daripada media.

Beliau kemudian terus menuju ke Perodua Myvi dan memandu keluar dari bangunan kementerian sambil melambai kepada pegawai-pegawainya.

Sebelum itu Maszlee turut membacakan pencapaian kementerian bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

“Walau bagaimanapun saya percaya saya meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga kementerian. Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam 3 kalimah keramat, ‘Pendidikan Untuk Semua’.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baru. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, timbalannya Teo Nie Ching. Media tidak sempat mendapatkan komennya berhubung perkembangan ini.