Maszlee sudah lakukan yang terbaik, kata Dong Zong

Maszlee Malik hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa esok (3 Jan).

PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengatakan Maszlee Malik sudah melakukan yang terbaik sebagai menteri pendidikan walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Leong Seng Yee berkata demikian kurang 2 jam selepas Maszlee membuat pengumuman meletakkan jawatan sebagai peneraju Kementerian Pendidikan setelah menerima nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Jawatan itu tidak mudah, orang ramai menaruh harapan tinggi terhadapnya, dan saya percaya beliau telah melakukan yang terbaik.

“Dengan seikhlas hati saya ucapkan yang terbaik untuk masa depan beliau dan semoga impiannya tercapai,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini, kumpulan pendidikan Cina terlibat dalam pertikaian dengan Kementerian Pendidikan mengenai pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Isu tersebut dikatakan antara perkara terbesar dalam beberapa kontroversi yang melanda Maszlee sepanjang 20 bulan berkhidmat sebagai menteri pendidikan.

Mengulas lanjut, Leong berharap pengganti Maszlee akan mewarisi polisi baiknya dan mengatasi cabaran dalam kementerian itu untuk bergerak ke arah “Malaysia baru” yang lebih inklusif.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Aziman Abdul Rahim berasa kesal dengan sikap tidak sabar orang ramai yang menyumbang kepada peletakan jawatan Maszlee.

Jelasnya, Maszlee mempunyai tugas yang berat untuk melaksanakan pembaharuan dalam sektor pendidikan.

Noor Azimah, yang juga ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan berkata Mahathir mempunyai perkara spesifik dalam fikirannya mengenai pendidikan negara, sambil menambah bahawa perdana menteri juga bersikap tidak bersabar.

“Mahathir tidak melihat keagamaan sangat di sekolah kebangsaan, beliau mahu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris ditingkatkan dan inisiatif diambil untuk menjadikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) lebih menarik kepada pelajar.

“Ia (perubahan) dalam proses, ia adalah kerja yang sedang berjalan, portfolionya besar. Ia tidak mampu diselesaikan sepanjang tahun lalu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Dalam pada itu, bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Johan Ariffin Samad berkata beliau “lega” dengan berita peletakan jawatan Maszlee.

“Jika anda bertanya kepada saya apakah 2 sumbangan pentingnya, orang akan memikirkan kasut hitam dan isu Jawi,” katanya.

Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid pula berpandangan Maszlee seperti beberapa menteri Pakatan Harapan (PH) lain yang gagal mengambil kira sentimen rakyat dalam mengetengahkan sesuatu dasar.

Beliau berkata tidak kira kementerian mana, “kebijaksanaan” diperlukan dalam melaksanakan dasar.

“Kita adalah masyarakat berbilang kaum, kita mesti tahu bagaimana mengendalikan sensitiviti. Pihak berkepentingan dan kerajaan akan sentiasa mempunyai pandangan masing-masing,” katanya kepada FMT.

Maszlee dalam sidang medianya meluahkan kekecewaan terhadap isu-isu sensitif yang dimainkan pihak-pihak tertentu sehingga meminggirkan pencapaian kementerian.