Pasukan rugi tak boleh potong gaji pemain kurang prestasi, kata KLFA

Pemain Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur menandatangani kontrak untuk musim 2020 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ketiadaan klausa memotong gaji pemain mempamerkan prestasi kurang memuaskan dalam kontrak akan merugikan pasukan Liga Malaysia, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.

Katanya, pihak pengurusan pasukan kini tidak boleh memotong sebahagian bayaran kepada pemain yang gagal mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) ditetapkan.

“Dua tahun lepas ada mengenai prestasi dan KPI dalam kontrak, tetapi MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dah buang pada 2019, hanya ada mengenai disiplin. Jadi kita tidak tahu bagaimana nak memastikan pemain beri yang terbaik.

“Sebelum ini, kita pernah hantar surat kepada pemain luar negara, dia hantar balik surat menerusi peguam memberi amaran kepada kita kerana tidak termaktub dalam kontrak.

“Jika ia melibatkan pemain import yang menerima gaji puluhan ribu ringgit, memang merugikan kita dan tidak adil buat pasukan,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak KLFA dan pemain pasukan Liga Premier Kuala Lumpur bagi musim 2020 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Pada musim lepas, skuad “The City Boys” menghadapi masalah prestasi penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula, manakala rakan senegaranya, Junior Aparecido menimbulkan masalah pada musim 2018.