Petisyen kekalkan Maszlee sebagai menteri pendidikan dapat sambutan menggalakkan

PETALING JAYA: Petisyen atas talian bagi mengekalkan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan mendapat sambutan menggalakkan.

Sehingga pukul 9.55 malam, sebanyak 137,746 menandatangani petisyen itu di laman web change.org yang kini menuju sasaran 150,000 orang.

Berdasarkan keterangan pada petisyen itu yang ditujukan kepada perdana menteri, Maszlee disifatkan sebagai menteri pendidikan yang telah berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang terbukti memberi manfaat kepada pelajar, guru dan masyarakat.

Individu yang hanya dikenali sebagai Tuah Kencana yang memulakan petisyen itu berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah pimpinan Maszlee bersikap telus dengan segala inisiatif dan reformasi pendidikan sedang dijalankan.

“Antara sumbangan beliau dalam tempoh yang singkat ini adalah sifar sekolah daif, program sarapan pagi percuma, program pertukaran guru “Suka Sama Suka”, penambahbaikan pendidikan untuk pelajar OKU, perkhidmatan Internet kelajuan tinggi, peningkatan program TVET, dan menjaga kebajikan guru.

“Malangnya, segala inisiatif beliau telah dibayangi dengan laporan-laporan negatif yang telah disensasikan oleh pihak yang berkepentingan.

“Keputusan meletakkan jawatan adalah satu kehilangan besar buat negara. Mewakili kumpulan masyarakat, kami memohon agar perdana menteri sebagai negarawan terulung untuk mengembalikan Maszlee Malik menggalas tanggungjawab sebagai menteri pendidikan,” katanya.

Maszlee dalam sidang media petang tadi mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa esok.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.