PRK Kimanis: SPRM buka bilik gerakan 24 jam terima aduan

Menurut SPRM Sabah, bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sepanjang PRK Kimanis akan ditempatkan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan rasuah atau salah guna kuasa pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy berkata, bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sepanjang PRK itu bertempat di pejabat SPRM Kota Kinabalu.

“Pegawai SPRM juga akan ditempatkan di beberapa lokasi untuk membuat pemantauan sepanjang PRK berkenaan berlangsung,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini, manakala penamaan calon pada 4 Jan dan pengundian awal 14 Jan.