Ringgit terus aliran mengukuh berbanding dolar AS

Menurut penganalisis, susulan kedudukan ringgit di bawah nilai berbanding kumpulan mata wang utama lain, ia dijangka terus bergerak seiring dengan mata wang serantau.

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran meningkatnya berbanding dolar AS pada dagangan pertama tahun ini seiring dengan kekukuhan yuan China berikutan perkembangan positif daripada perjanjian perdagangan “fasa pertama” Amerika Syarikat (AS)-China, kata seorang penganalisis.

Ketua pakar strategi pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata, langkah mudah tunai tambahan People’s Bank of China’s (PBoC) untuk meningkatkan ekonomi negara itu menyokong ringgit, susulan hubungan perdagangan erat antara Malaysia dengan China.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.0880/0930 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0890/0920 pada Selasa.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti sambutan Tahun Baru.

“Memandangkan ringgit di bawah nilai berbanding kumpulan mata wang utama lain, kami menjangkakan mata wang itu akan terus bergerak seiring dengan mata wang serantau,” kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0329/0375 daripada 3.0383/0415 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7529/7582 daripada 3.7645/7683.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3971/4058 daripada 5.3795/3855 tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.5760/5824 daripada 4.5850/5888.