Tangguh subsidi petrol kerana bimbang kos sara hidup naik, kata Guan Eng

GEORGE TOWN: Kerajaan menangguh pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) kerana bimbang pengapungan harga petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa prihatin kos sara hidup kerana harga minyak secara langsung memberi impak kepada kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40.

“Itu yang menyebabkan kita nak berhati-hati dalam melaksanakan PSP. Itu yang kita nak bincang kerana apabila pengapungan, harga minyak dijangka naik,” katanya selepas mengadakan tinjauan hari pertama penurunan kadar tol di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, semalam.

Beliau berkata, bukan saja pengguna atau rakyat biasa, tetapi ahli perniagaan juga menyuarakan kebimbangan kesan pengapungan harga minyak, walaupun 1 atau 2 sen seminggu.

Isnin minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pelaksanaan PSP yang dijadualkan bermula bulan ini ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi PSP dalam Belanjawan 2020 yang akan memanfaatkan 8 juta penerima daripada kelompok B40 dan M40.

Mereka yang layak akan diberikan subsidi petrol RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang disalurkan dalam bentuk pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap 4 bulan.

Berikutan pelaksanaan PSP itu, harga petrol RON95 akan diapungkan.

Lim berkata, PSP ditangguhkan untuk dikaji impaknya bagi memastikan kerajaan dapat membantu mereka yang layak mendapat bantuan itu.

“Penangguhan pelaksanaan PSP juga untuk memastikan rakyat lebih memahami program ini kerana ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat khususnya golongan B40,” katanya.

Terdahulu, Lim yang juga setiausaha agung DAP membidas tindakan MCA mengkritik keputusan kerajaan menangguhkan PSP.

“Sebelum ini, bila diumumkan…parti pembangkang mengkritik tindakan itu kerana bawa kesulitan kepada rakyat.

“Tetapi sekarang kita tangguhkan PSP, pihak pembangkang juga kritik kerana tidak laksanakan cepat-cepat. Jadi kita nak tahu apakah pendirian mereka (MCA) ataupun mereka sekadar nak cari modal politik untuk kritik.”