Teo Nie Ching terlepas, soal Najib selepas Maszlee letak jawatan

Bekas perdana menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini tertanya bagaimana nasib Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching selepas Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya petang tadi.

“Timbalan dia terlepas?” katanya di Facebook

Sebelum itu, Najib menyuarakan simpati selepas terbaca kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang menggesa Kementerian Pendidikan bertanggungjawab atas isu kertas peperiksaan Universiti Malaysia Perlis, dan spekulasi rombakan kecil Kabinet beberapa jam sebelum sidang media petang tadi.

“Berita hari ini. ‘Uncle’ dah bersuara. Kesian Maszlee,” katanya.

Maszlee pada sidang media petang tadi mengumumkan peletakan jawatan menteri pendidikan berkuatkuasa esok, 3 Jan.

Beliau meletakkan jawatan atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Maszlee juga sempat membacakan pencapaian kementerian bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma,” katanya.

Teo Nie Ching turut hadir pada sidang media itu. Media tidak sempat mendapatkan komennya berhubung perkembangan ini.