Warisan calon Karim Bujang untuk PRK Kimanis

Presiden Warisan Shafie Apdal mengumumkan Karim Bujang (bertopi) sebagai calon parti itu bagi PRK Kimanis.

KOTA KINABALU: Warisan hari ini menamakan Karim Bujang sebagai calon bagi pilihan raya kecil Kimanis pada 18 Jan depan.

Presiden Warisan Shafie Apdal membuat pengumuman itu ketika melancarkan jentera pilihan raya parti berkenaan di Membakut, yang merupakan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kimanis, kira-kira 90km dari sini.

“Calon mestilah seorang pejuang yang berjuang untuk rakyat, bukannya orang yang mengejar kedudukan atau kepentingan peribadi,” kata Shafie disambut tepukan gemuruh lebih 500 penyokong.

Karim, yang memfailkan petisyen pilihan raya yang membuka jalan kepada PRK yang bakal diadakan, berkemungkinan besar berdepan saingan 2 penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin.

Bekas menteri luar Anifah Aman yang memenangi kerusi tersebut untuk penggal keempat dengan majoriti kecil pada 2018, tewas dalam kesnya di mahkamah bukan lepas, sekali gus memnyebabkan PRK diadakan.

Pada pilihan raya umum 2018, Warisan juga meletakkan Karim, yang meraih 11,786 undi, kurang 156 undi berbanding Anifah yang bertanding atas tiket Umno ketika itu.

Ketika mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti, Karim meminta Warisan dan sekutunya, iaitu Upko dan Pakatan Harapan, supaya bekerjasama bagi merampas kerusi berkenaan daripada BN.

“Ia merupakan tanggungjawab yang berat. Mudah-mudahan kita boleh bekerjasama dalam membawa pembangunan ke kawasan kurang maju di Kimanis,” kata ahli perniagaan berusia 66 tahun itu.