2 lagi meriam lama ditemukan di Pulau Pinang

Salah satu laras meriam yang ditemukan di Pulau Pinang baru-baru ini tertera angka 1757, dipercayai tahun ia dibuat. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Dua lagi laras meriam lama ditemukan semasa kerja-kerja pengukuhan dan menaik taraf tembok laut di pesisir pantai utara, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, di sini masing-masing pada 9 dan 27 Dis lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Noor Zari Hamat berkata 2 laras meriam sepanjang 3 hingga 3.6 meter itu dijumpai secara tidak sengaja ketika kerja-kerja pembinaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) dan Think City dijalankan.

“Ia merupakan kawasan tapak projek yang berada dalam kawasan Zon Teras Tapak Warisan Dunia Unesco (Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) George Town dan berada di dalam Zon Penampan untuk Tapak Warisan Kebangsaan Kota Cornwallis.

“Selepas ini Jabatan Warisan Negara akan bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kerja-kerja konservasi dan pemuliharaan meriam itu,” katanya pada sidang media berhubung penemuan 2 meriam itu, di sini hari ini.

Sebelum ini, 2 meriam lama masing-masing sepanjang 2.35 meter dan 2.2 meter yang dipercayai dihasilkan semasa zaman pemerintahan King George III (1760-1820), kira-kira 200 tahun lalu, turut ditemukan oleh pasukan PPAG USM semasa kerja-kerja ekskavasi dijalankan pada struktur pertahanan luar dan terusan yang mengelilingi Kota Cornwallis pada 19 Feb 2018.

Noor Zari berkata setakat ini pihaknya masih belum dapat memastikan tahun sebenar kewujudan meriam berkenaan, namun tidak menolak kemungkinan ia wujud sekitar abad ke-17.

“Walaupun ada petanda menunjukkan ianya seolah-olah dibuat pada tahun 1757 (sebelum kedatangan Francis Light ke Pulau Pinang), tanda ini akan lebih dikenal pasti secara jelas selepas pihak USM melakukan pembersihan dan sebagainya.

“Ini merupakan meriam terbesar yang pernah kami temui dan penemuan ini adalah satu lagi kenangan manis kerana masih ada lagi artifak bersejarah ditemui di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang turut hadir pada sidang media itu berkata kerajaan negeri berhasrat untuk memindahkan 2 meriam berkenaan ke dalam Kota Cornwallis dan diletakkan bersama-sama dengan beberapa meriam lain bagi mengurangkan proses degradasi dan kerosakan serta memudahkan proses konservasi kelak.

“Pemindahan meriam tersebut ke dalam Kota Cornwallis dijangkakan meningkatkan nilai warisan dan menarik lebih ramai pengunjung serta ahli akademik ke Kota Cornwallis. MBPP juga bersetuju untuk membiayai kos pemindahan meriam tersebut manakala kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan RM80,000 bagi tujuan proses konservasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk menjalankan kerja-kerja ekskavasi di seluruh Kota Cornwallis bagi tujuan mencari meriam.

“Jika secara kebetulan dalam melaksanakan projek-projek seperti ‘seawall’, kerja pemeliharaan Kota Cornwallis atau tapak penjajah kita menemui (meriam) kita anggap itu satu penemuan yang baik. Tetapi di peringkat ini memang kita tidak bercadang untuk menjalankan kerja-kerja ekskavasi di seluruh tempat ini,” katanya.