7 pemain digugurkan Persatuan Badminton Malaysia

sangan beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi antara 7 pemain yang digugurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu senior lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi antara 7 pemain yang digugurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk penubuhan skuad baru Projek 24.

Selain daripada beregu itu yang menduduki ranking ke-19 dunia, turut menerima nasib sama ialah 3 permain perseorangan lelaki Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Taha dan pasangan beregu wanita Lim Peiy Yee-Lim Chiew Sien.

Projek 24 yang dilancarkan September lalu adalah untuk memastikan skuad Malaysia ke final Piala Thomas dan menyasarkan sebutir pingat emas Sukan Olimpik edisi 2024.

Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) membuat pengumuman itu selepas mesyuarat selama 1 1/2 jam di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Goh berkata keputusan itu dibuat selepas menilai semula prestasi mereka berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan 4 kriteria yang ditetapkan untuk dicapai pemain sehingga 31 Dis lalu.

“Saya mahu mengatakan semua pemain di bawah BAM, kebanyakan mereka telah bersama kami bertahun-tahun. Malah ada antara mereka saya kenal sejak mereka di bangku sekolah lagi.

“Mereka telah banyak menyumbang kepada BAM dan negara, dan pada asasnya mereka telah memberi yang terbaik tetapi bagaimanapun dalam mana-mana badan sukan apabila kami hendak melakukan penilaian semula, kami perlu melihat prestasi keseluruhan, maka kami mengambil keputusan untuk mengekalkan sebahagian pemain dan melepaskan beberapa orang daripada mereka.

“Tetapi saya mahu tekankan di sini bahawa mereka yang akan meninggalkan BAM, pintu masih belum tertutup sepenuhnya. Jika mereka masih mahu terus bermain, kami akan menilai semula mereka dan jika mereka membuktikan mereka masih bernilai untuk diserapkan dalam skuad negara kami akan membuka pintu untuk mereka,” katanya kepada pemberita.

Goh berkata ia bukan satu keputusan mudah untuk dibuat terutama dengan ketiadaan pasangan beregu “sparing” yang kompetitif selepas Yew Sin-Ee Yi meninggalkan barisan skuad negara, bulan depan.

Bagaimanapun, Goh berkata BAM sudah membuat keputusan untuk bergerak ke hadapan dan menimbangkan semua perkara termasuk Piala Thomas dan kelayakan Olimpik yang berakhir April ini.

“Ia bukan satu keputusan mudah tetapi kami benar-benar serius untuk bergerak ke hadapan dengan melakukan perubahan yang perlu. Kami tidak mahu urusan seperti biasa buat para pemain dan jurulatih,” katanya.

Bagaimanapun, Goh berkata bukan mudah bagi pemain yang dikekalkan dalam barisan skuad kebangsaan kerana mereka juga perlu membuktikan keupayaan mereka dalam tempoh 4 bulan sebelum satu lagi semakan dibuat pada April tahun ini.

“Kepada mereka yang dikekalkan, kami akan duduk bersama mereka dan melakukan satu lagi penilaian semula. Kami akan memberi mereka kejohanan yang cukup untuk 3 ke 4 bulan lagi bagi mereka membuktikan keupayaan masing-masing.

“Kami tidak mengabaikan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kami juga bersetuju bahawa peristiwa penting bagi Projek 24 ialah Tokyo 2020. Jadi dalam mesyuarat hari ini, kami membuat perancangan strategik dan lebih menumpukan kepada pemain yang kami rasakan mampu layak termasuk pemain persendirian. Kami akan membantu mereka untuk layak dan memenangi sebutir pingat dalam Olimpik 2020,” katanya.

Goh berkata jawatankuasa C&T juga mendapati jabatan wanita menunjukkan peningkatan tetapi masih belum sampai ke satu tahap yang diinginkan.

“Kami sedang aktif mencari jurulatih-jurulatih untuk menguatkan perseorangan dan beregu wanita. Pada masa ini, sukar untuk mencari jurulatih kerana mereka telah diambil oleh pasukan lain (untuk Olimpik Tokyo).

Sementara itu, jurulatih pasukan kebangsaan dalam keadaan selamat dan mereka pada masa ini menumpukan perhatian kepada pemain bimbingan masing-masing supaya layak ke Olimpik.

Pemain perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran masing-masing diketuai Misbun Sidek, Tey Seu Bock dan Chin Eei Hui.

Jurulatih lain ialah Hendrawan, Indra Wijaya (perseorangan lelaki); Paulus Firman, Vountus Indra Mawan Saniru (beregu lelaki), Low Wei Sheng (perseorangan wanita); Rosman Razak, Wong Pei Tty (beregu wanita); dan Teo Kok Siang (beregu campuran).

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann kekal sebagai penyelia utama projek itu.