Ackbal dilantik panglima baru TUDM

Panglima ATM, Affendi Buang (kiri) menyerahkan tongkat kuasa panglima TUDM kepada Ackbal Abdul Samad, dalam majlis serah terima tugas jawatan tertinggi TUDM di Pangkalan Udara Subang hari ini. (Gambar Bernama)

SUBANG: Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Ackbal Abdul Samad dilantik sebagai panglima TUDM ke-19 berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Affendi Buang yang dilantik sebagai panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa semalam.

Upacara pemakaian pangkat Jeneral kepada Ackbal dilakukan Affendi di Pangkalan Udara Subang, di sini.

Affendi turut menyerahkan tongkat kuasa panglima TUDM kepada Ackbal dalam majlis serah terima tugas jawatan tertinggi TUDM itu.

Sementara itu, Affendi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Ackbal yang merupakan calon paling sesuai menerajui TUDM.

“Saya yakin Ackbal akan dapat meneruskan legasi kecemerlangan TUDM dan seterusnya memimpin TUDM ke arah wawasan TUDM untuk menjadi satu kuasa unggul,” katanya.