Anifah gagal semak semula keputusan batal kemenangan di Kimanis

Bekas menteri luar, Anifah Aman.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Anifah Aman untuk menyemak semula keputusan terdahulu yang membatalkan kemenangannya di Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kami mempertimbangkan permohonan Anifah dan mendapati dia gagal melepasi ambang yang ditetapkan Aturan 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan.

“Kami juga tidak yakin Anifah dapat buktikan yang 4 hakim yang dengar rayuannya itu berat sebelah,” kata hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh semasa menyampaikan keputusan mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan Anifah membayar kos RM200,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pegawai pengurus pilihan raya dan calon Warisan, Karim Bujang.

Hakim lain dalam panel tersebut ialah Vernon Ong, Abdul Rahman Sebli, Abang Iskandar Abang Hashim dan Zabariah Mohd Yusof.

Keputusan ini bermakna PRK Kimanis boleh berlangsung di mana penamaan calon akan berlangsung esok (4 Januari). Pengundian ditetapkan pada 18 Jan.

Umno memilih bekas Adun Bongawan Mohamad Alamin sebagai calon Kimanis. Sementara itu, Karim akan bertanding lagi untuk Warisan.

Anifah, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, meninggalkan Umno pada September 2018 dan beliau mengambil keputusan tidak mempertahankan kerusi Kimanis dalam PRK ini.

Beliau hanya memperoleh majoriti 156 undi, mengalahkan Karim pada 2018.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan itu, peguam Anifah, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata bekas menteri itu menerima dan menghormati keputusan tersebut.

“Dia juga mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan berharap dapat terus berkhidmat kepada rakyat dalam kapasitinya sebagai rakyat biasa,” kata Fuad.

Peguam itu juga berkata beliau tidak menerima apa-apa arahan daripada Anifah untuk memfailkan saman terhadap SPR.

“Saya akan menasihatinya agar tidak meneruskan kes terhadap SPR kerana, pada peringkat ini, saya tidak fikir dia akan berjaya.

“Tetapi itu adalah hal antara dia dan peguam yang menasihatinya mengenai perkara itu,” tambah Fuad.

Sebelum ini, pegawai khas Anifah, James Ligunjang, berkata beliau merancang untuk memfailkan saman terhadap SPR kerana gagal menjalankan pilihan raya dengan betul pada 2018 dan mahu mendapatkan pampasan daripada kerajaan.