Cadangan tutup MaraCorp khianati agenda Bumiputera, kata MTEM

Ahmad Yazid Othman meminta Mara diberikan masa dan sokongan untuk menjana pendapatan sendiri berdasarkan pelan perniagaan disokong kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam agenda ekonomi Bumiputera.

PETALING JAYA: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengkaji semula cadangan menutup Mara Corporation (Mara Corp) yang jelas mengkhianati agenda Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, cadangan itu dibuat secara membabi buta tanpa berbincang dengan pertubuhan berkepentingan dalam pembangunan sosioekonomi Melayu.

“Kita memuji inisiatif dan rancangan untuk memulihkan kedudukan Mara dengan memastikan pengurusan yang lebih baik, dari segi pengurusan kewangan dan melihat semula strategi supaya lebih berjaya.

“Tetapi, takrif kejayaan Mara tidak perlu diubah dan dikecilkan, sebaliknya ia perlu diperhalusi supaya lebih ‘outcome based’ bukan sekadar dinilai berdasarkan belanjawan yang diberi oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 31 Dis lalu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa Mara menghentikan tindakan menutup Mara Corp dan menjual aset Melayu bagi mengecilkan skop tanggungjawabnya kepada pendidikan dan keusahawanan saja.

Presiden DPMM, Syed Hussein AlHabshee dilaporkan berkata, Mara sepatutnya memperkasa Mara Corp, bukannya mengambil jalan mudah dengan menutupnya.

Yazid berkata, tindakan Mara mengambil pendekatan berdasarkan untung rugi semata-mata akan menyebabkan banyak agensi dan inisiatifnya yang memberi keuntungan menyeluruh kepada orang Melayu terpaksa ditutup.

Beliau meminta Mara diberikan masa dan sokongan untuk menjana pendapatan sendiri berdasarkan pelan perniagaan disokong kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam agenda ekonomi Bumiputera.

“Mara perlu mendapatkan kepakaran yang diperlukan dan bukan dengan mudah menjual apa yang dah dibina. Ini boleh dilihat berdasarkan kenyataan Mara Corp yang berjaya membalikkan kerugian RM74 juta dan dijangka kembali menjana keuntungan pada masa depan.”

Beliau berkata, Mara tidak boleh lepas tangan sekarang kerana hasil dapatan MTEM dan dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 menunjukkan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi masih terhad kepada sektor korporat serta perusahaan kecil dan sederhana.

Katanya, ada kajian menunjukkan kejayaan dalam pendidikan saja sebagai alat tindakan afirmatif tidak cukup untuk memastikan penguasaan ekonomi Bumiputera di negara ini dan tidak menghalang diskriminasi terhadap golongan itu di sektor swasta dari segi peluang pekerjaan atau gaji.

“MTEM berharap Mara dapat melihat semula cadangan atau keputusan yang dibuat. Kita tidak mahu suasana seperti pepatah Melayu, takut yang dikejar tak dapat, dikendong keciciran. (Jika) tersalah langkah mungkin akan merencat kemajuan bangsa dan negara.”

Beliau turut meminta menteri pembangunan luar bandar mengkaji semula visi Mara dan mengambil tindakan jika ia menyimpang daripada landasan sebenar.

Jika sebaliknya, beliau mahu Mara memberi penjelasan terperinci terhadap cadangan penutupan Mara Corp.