Hanya spekulasi, Saifuddin nafi ganti Maszlee

Timbalan Menteri Luar, Saiffuddin Abdullah.

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Saiffuddin Abdullah menolak cakap-cakap bahawa beliau akan menggantikan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan.

Beliau menegaskan ia hanya spekulasi yang dibuat oleh pihak tertentu.

“Itu hanya spekulasi. `Nahi, nahi, nahi’ (Tidak, tidak tidak),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pencapaian Kementerian Luar 2019 serta sasaran kementerian pada 2020, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai namanya yang disebut-sebut sebagai antara pengganti Maszlee.

Kolumnis FMT, A Kathirasen semalam mengemukakan 2 nama yang terdetik di fikirannya yang dilihat sesuai menggantikan Maszlee, iaitu Saifuddin dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Mustapa Mohamed.

Kathirasen berkata, Saifuddin yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi dilihat sebagai seorang yang berkebolehan, bertenaga dan mempunyai idea yang kuat untuk pendidikan.

“Saya percaya beliau boleh menetapkan semula kementerian pendidikan pada landasan yang akan mengembalikan semula keyakinan dan kestabilan,” katanya.

Dalam sidang akhbar semalam, Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata keputusan dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.