Indonesia rancang pembenihan awan halang hujan selepas banjir ragut 30 nyawa
Agensi Teknologi Indonesia BPPT berkata, 2 pesawat kecil bersiap sedia melakukan operasi pembenihan awan di Selat Sunda.
JAKARTA: Indonesia akan melakukan pembenihan awan hari ini untuk menghalang hujan berterusan di Jakarta yang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh susulan hujan paling lebat dalam tempoh lebih 20 tahun.
Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) berkata, angka korban akibat banjir di Jakarta dan kawasan sekitar meningkat kepada 30 orang pada Khamis malam dengan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan.
Jakarta dan bandar berhampiran dilanda banjir akibat hujan lebat sejak 31 Dis lalu yang berlarutan sehingga awal pagi tahun baru.
Agensi Teknologi Indonesia BPPT dalam satu kenyataan berkata, 2 pesawat kecil sudah bersiap sedia untuk operasi pembenihan awan di Selat Sunda.
“Semua awan bergerak ke arah kawasan Jakarta Raya, yang dijangka menyebabkan kerpasan di sana, akan disembur dengan bahan NaCl (natrium klorida).
“Diharapkan ia akan berpecah sebelum sampai ke kawasan Jakarta Raya.”
Pembenihan awan atau menyembur air garam ke dalam awan untuk membentuk titisan hujan kerap digunakan di Indonesia untuk memadam kebakaran hutan pada musim kemarau.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) memberi amaran “cuaca ekstrem” mungkin berterusan sehingga 7 Jan ini, manakala hujan lebat diramalkan berlarutan sehingga pertengahan Februari.
Laporan berita di televisyen hari ini masih menunjukkan sesetengah kawasan di Jakarta dinaiki air.
Semalam, pihak berkuasa menggunakan ratusan pam untuk menyedut air banjir di kawasan kediaman dan kemudahan awam seperti landasan kereta api.
Presiden Joko Widodo menyalahkan kelewatan projek infrastruktur tebatan banjir, termasuk pembinaan sebuah terusan yang tertangguh sejak 2017 kerana masalah pengambilalihan tanah.
Tahun lalu, beliau mengumumkan ibu negara Indonesia akan dipindahkan ke wilayah Kalimantan Timur di pulau Borneo untuk mengurangkan beban Jakarta yang terlalu padat dengan penduduk.
Jakarta dan kawasan sekitarnya mempunyai lebih 30 juta penduduk.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Lebih 50 orang maut dalam banjir paling teruk di Jakarta pada 2007 dan sebahagian besar kawasan di pusat bandar raya itu ditenggalami air selepas terusan melimpah 5 tahun lalu.