Iran dan ‘negara bebas serantau’ akan tuntut bela pembunuhan Soleimani, kata Rouhani

Qassem Soleimani (tengah) terbunuh dalam serangan udara di lapangan terbang antarabangsa Baghdad. (Gambar AP)

TEHRAN: Iran dan “negara bebas serantau” akan menuntut bela terhadap Amerika Syarikat kerana membunuh pemerintah Pengawal Revolusi Qasem Soleimani pada Jumaat, kata presiden Hasan Rouhani.

“Tidak diragui lagi bahawa Iran dan negara bebas lain di rantau ini akan menuntut bela atas jenayah ganas oleh negara penjenayah Amerika,” kata Rouhani, merujuk kepada sekutu Iran di Timur Tengah.

“Kematian Soleimani oleh penceroboh dan penjenayah Amerika melukakan hati Iran dan semua negara di rantau ini,” kata Rouhani dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web kerajaan Iran.

Kematian beliau “menggandakan azam Iran dan negara bebas lain untuk menolak taktik membuli Amerika, sekali gus mempertahankan nilai-nilai Islam,” kata Rouhani.

“Perbuatan keji dan pengecut ini adalah satu lagi tanda kelemahan dan keadaan terdesak Amerika di rantau ini,” kata beliau lagi.