Jualan Proton naik lebih 55% tahun lalu

KUALA LUMPUR: Proton menjual 100,821 unit kenderaan tahun lalu, meningkat 55.7% berbanding jualan pada 2018 yang disumbang terutamanya daripada model Proton X70 dan Proton Saga.

Ini adalah kali pertama jualan pengeluar kereta nasional itu melepasi paras 100,000 unit sejak 2015.

“Penyumbang kepada pertumbuhan jualan Proton tahun lepas adalah Proton X70, selain peningkatan peratusan 2 angka dalam jualan bagi 4 model dikemas kini yang dilancarkan pada 2019.

“Proton Saga sekali lagi merupakan kereta sedan segmen A paling popular dengan 3,892 unit dijual pada Disember. Jumlah jualan bagi 2019 sebanyak 38,144 unit bersamaan peningkatan kuantiti 36%,” kata syarikat itu dalam kenyataan semalam.

Proton berkata, jualan semasa Disember adalah yang tertinggi bagi keseluruhan tahun lalu, meningkat 112% kepada 11,117 unit berbanding tempoh sama pada 2018.

Jumlah ini bersamaan 20.5% bahagian daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada Disember dan kali pertama syarikat itu menjual lebih 11,000 kereta dalam masa sebulan sejak Julai 2014.

Katanya, keseluruhan bahagian pasarannya bagi tahun lalu dianggarkan mencecah 16.7%, pencapaian tertinggi sejak 2014.