Mahkamah arah anak Mat Sabu bela diri berkait kes dadah

Ahmad Saiful Islam (baju merah putih) tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bersama peguamnya, Nasar Khan (kiri).

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan Ahmad Saiful Islam yang juga anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membela diri atas dakwaan mengambil dadah tahun lalu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas meneliti hujah dan keterangan 6 saksi.

“Daripada keterangan (saksi), mahkamah mendapati rantaian kes pendakwaan tidak pernah terputus dan kes siasatan berjalan dengan teratur.

“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keterangan dan hujahan, mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dan tertuduh diperintah untuk membela diri,” katanya.

Majistret mengarahkan Saiful yang memilih untuk memberi keterangan bersumpah di dalam kandang saksi, membela diri pada 13 Feb nanti.

Saiful, 32, ditahan polis atas dakwaan positif ganja di pusat hiburan sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 5 Januari tahun lalu.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 pada 13 Jun lalu selepas mengaku tidak bersalah mengambil dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, Saiful boleh didenda RM5,000 atau dipenjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya.

April tahun lalu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dilaporkan berkata, tiada sesiapa terkecuali daripada tindakan undang-undang, termasuk anaknya dan dia akan mendapat perbicaraan adil.