Malaysia buka semula kedutaan di Korea Utara tahun ini, kata menteri

Kedutaan Malaysia di Korea Utara yang ditamatkan perkhidmatannya sejak April 2017, akan dibuka semula tahun ini.

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang, Korea Utara tahun ini.

Beliau berkata langkah itu sebagai tanda sokongan terhadap proses rundingan damai antara Korea Utara dan Korea Selatan serta pemulihan semula hubungan 2 hala antara Malaysia dan Korea Utara.

“Kita adalah negara yang mesra dan mahu menjaga hubungan baik dengan semua negara.

“Kenapa kita nak buka semula, sebab mahu menunjukkan sokongan terhadap rundingan damai antara Korea Utara dan Korea Selatan,” katanya pada sidang media mengumumkan pencapaian Kementerian Luar 2019 serta sasaran kementerian pada 2020, hari ini.

Kedutaan Malaysia di Korea Utara ditamatkan perkhidmatannya sejak April 2017 susulan kejadian pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Februari 2017.

Menurut Saifuddin, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu tampil memberi motivasi kepada rundingan damai itu dengan melonggarkan beberapa sekatan terhadap Korea Utara.

“Kami menyatakan pendirian dan pandangan kami bahawa kadang-kadang kamu perlu memberi motivasi kepada orang untuk duduk di meja rundingan dan menunjukkan sokongan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata Kementerian Luar juga akan membuka pejabat Perwakilan Malaysia ke Palestin yang berpusat di Amman, Jordan dan Konsulat Jeneral Malaysia di Instabul, Turki.

Beliau berkata Konsul Kehormat Malaysia di Iraq, Libya dan Yaman akan turut dilantik.

“Untuk kedutaan Pelestin di Amman, kita sedang bincang dengan Menteri Luar Jordan. Kita sudah ada kedutaan Malaysia di Jordan di Amman.

“Bagi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul kemungkinan boleh dilakukan dengan cepat, manakala Konsul Kehormat Malaysia di Iraq, Libya dan Yaman bergantung kepada masa yang sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Saiffudin berkata Wisma Putra akan memfokuskan rasionalisasi perwakilan dan agensi di luar negara.

“Wisma Putra memuktamadkan perbincangan mengenai rasionalisasi fasa pertama ini bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta kementerian dan agensi yang lain.

“Rasionalisasi ini akan menyusun semula institusi perkhidmatan awam serta meminimumkan pertindihan fungsi, peranan dan tanggungjawab antara agensi.

“Ini dapat mengoptimumkan sumber manusia serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara keseluruhan,” katanya.