Maszlee bawa banyak perubahan positif, kata timb menteri

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching mengakui pelbagai perubahan positif dibuat Maszlee Malik dalam menambah baik sistem pendidikan negara, sama ada di peringkat pendidikan asas mahupun pendidikan tinggi.

Dalam hantaran di akaun Facebook beliau hari ini, Teo berkata mengemudi sebuah kementerian yang besar bukan tugas mudah dan banyak perkara dipelajarinya daripada Maszlee yang disifatkannya sebagai seorang yang kuat semangat dan tidak mengenal erti lelah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala tunjuk ajar dan pimpinan YB Dr sepanjang kami berkhidmat bersama.

“‘May the force be with you’ (selamat maju jaya),” katanya.

Beliau turut memetik kata-kata seorang ulama terkenal dari Indonesia, Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka yang berbunyi:

“Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Dalam sidang akhbar semalam, Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.