Maszlee letak jawatan baik untuk Sarawak, kata menteri negeri

Ketika menjadi menteri pendidikan, Maszlee dikatakan melarang pemimpin GPS Sarawak daripada menghadiri acara diadakan di sekolah di negeri itu.

KUCHING: Seorang menteri Sarawak berkata, peletakan jawatan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan adalah “positif” kepada negeri itu.

“Dasar Maszlee melarang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada menghadiri acara ibu bapa dan guru di sekolah menimbulkan kemarahan kerana kami tidak pernah menggunakan sekolah sebagai platform untuk tujuan politik,” kata menteri pelancongan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dilaporkan Nov tahun lepas bahawa pemimpin GPS perlu mendapat kebenaran daripada pengarah Jabatan Pendidikan sekiranya mereka mahu memasuki mana-mana sekolah di negeri itu.

Sesetengah pemimpin GPS dilaporkan berkata, mereka dimaklumkan bahawa pengetua dan guru besar diberi “amaran” oleh pegawai atasan supaya tidak menjemput pemimpin GPS ke acara yang diadakan di sekolah masing-masing.

Karim memberitahu FMT bahawa langkah Maszlee meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan adalah sangat bermaruah.

Katanya, tempoh 2 tahun Maszlee sebagai menteri diselubungi pelbagai kontroversi dan beliau tampak kurang kemahiran dalam mengurus krisis dan kritikan awam.

Menurut Karim, antara lain, langkah mengarahkan pelajar memakai kasut hitam, pengenalan tulisan Jawi kepada pelajar Tahun 4 dan menggesa hotel membenarkan pelajar sekolah menggunakan kolam renang mereka dibuat tanpa pertimbangan yang teliti.

“Kami berharap seorang menteri yang lebih baik akan mengendalikan portfolio pendidikan selepas ini” katanya.

Dalam pada itu, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang See Chee How berkata, Maszlee telah bekerja kuat dan hanya mahukan yang terbaik untuk semua sekolah di negara ini.

Katanya, Maszlee melawat Sarawak 3 kali dan memberi perhatian kepada masalah sekolah daif di negeri itu.

“Malah beliau meminta kami menyediakan senarai semua sekolah daif di Sarawak dan melawat beberapa buah daripadanya.

“Tetapi beliau lebih merupakan seorang ahli akademik dan kurang cekap mengendalikan keadaan dari segi politik. Saya fikir beliau telah buat yang terbaik, tetapi sukar untuk memuaskan hati semua orang,” katanya ketika ditemui pada program “Back To School” di SK St Andrew di sini, hari ini.

See berkata, lebih 2,000 murid menerima beg sekolah, kasut dan alat tulis sejak minggu lepas melalui program itu atas inisiatif Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.