Maszlee letak jawatan bukti PH ada masalah dalaman, kata Najib

Najib Razak bertemu penyokong di Membakut hari ini menjelang hari penamaan calon PRK Kimanis.

MEMBAKUT: Peletakan jawatan Maszlee malik sebagai menteri pendidikan menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai masalah dalaman, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata perkembangan itu jelas menunjukkan masalah dalaman yang dihadapi oleh PH.

“Dia (Maszlee) disuruh letak jawatan, bukan dia sendiri letak jawatan.

“Dia diminta oleh perdana menteri (supaya meletak jawatan) kerana tekanan dari luar dan dalam,” katanya kepada pemberita ketika hadir acara bertemu rakyat di sini hari ini, menjelang hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Semalam, Maszlee mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri pendidikan 20 bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut dengan jangkaan beliau akan melaksanakan pembaharuan penting dalam sektor pendidikan negara.

“Dengan taat setia dan redha walaupun berat, dengan nasihat ayahanda perdana menteri, saya, Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai menteri pendidikan kepada perdana menteri berkuat kuasa pada 3 Jan 2020,” katanya kepada pemberita, sekali gus mengesahkan spekulasi berhubung penarikan diri beliau daripada Kabinet.

Najib berkata, terdapat parti komponen PH yang mahu Maszlee berundur.

Ketika ditanya sama ada menteri lain juga harus meletak jawatan, Najib berkata, “itu terpulang kepada rakyat, bukan (keputusan) saya, tetapi terdapat banyak spekulasi yang tersebar”.