Peniaga dipaksa bayar RM500 ke RM1,000 sebulan, kata ahli Parlimen Wangsa Maju

Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew diiringi polis selepas diserbu sekumpulan peniaga di Uptown Danau Kota, Wangsa Maju semalam.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew berkata, beliau tidak kisah dicerca dan diintimidasi oleh “gangster” yang membantah langkah penempatan semula kira-kira 500 penjaja ke satu tapak baru di kawasan pilihan Parlimennya itu.

Katanya, terdapat 3 hingga 4 “kumpulan gangster” yang mengutip antara RM500 hingga RM1,000 daripada peniaga di Uptown Danau Kota, Wangsa Maju sepanjang 12 tahun lepas.

“Mereka membantah langkah itu kerana tidak lagi dapat mengutip wang.

“Saya berjaya mendapatkan tapak sementara untuk peniaga sehingga tapak baru siap bagi menghentikan perbuatan buli itu. Kami mahu peniaga berniaga di tempat yang sesuai,” katanya kepada FMT.

Tan berkata, pada bulan Ramadan, sindiket berkenaan mengutip antara RM4,000 hingga RM8,000 bergantung pada lokasi.

“Jadi bagaimana peniaga yang bekerja keras akan mendapat untung dalam keadaan begini?”, soal beliau.

Tan memberi respons terhadap satu klip video yang dihantar oleh bekas perdana menteri Najib Razak menunjukkan beliau diiringi polis ke keretanya, sementara kedengaran suara yang mendakwa beliau tidak ambil peduli tentang nasib peniaga.

Ketika beliau cuba berunding dengan sekumpulan lelaki berhubung pentingnya penempatan semula itu, suaranya tenggelam di sebalik pekikan mereka.

Katanya, klip video itu dirakamkan semalam sewaktu beliau melawat kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sepanjang 12 tahun lepas, kira 500 ke 600 peniaga berniaga di Uptown Danau Kota, yang merupakan satu kawasan petempatan dengan lebih 10,000 rumah.

Katanya, pada awalnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 300 lesen penjaja 12 tahun lepas, tetapi angka itu terus meningkat sehingga menghalang penduduk menggunakan jalan untuk ke rumah masing-masing.

“Peniaga juga memasak char koey teow berdekatan stesen minyak. Jika berlaku kebocoran gas, tempat itu boleh meletup,” katanya.

Tan berkata, peniaga juga menghalang jalan masuk ke stesen minyak, menyebabkan beliau menempatkan mereka ke satu lot kosong yang bertentangan dengan tapak sedia ada.

“Peniaga terima penempatan semula itu. Mereka dapat tapak yang sesuai dan hanya perlu membayar RM200 kepada DBKL. Mereka tidak lagi perlu bayar hingga RM1,000 kepada sindiket,” katanya.

Tan berkata, tapak baru itu mempunyai 500 gerai dan terdapat 60 lagi gerai kosong.

“Kita mahu peniaga yang tulen berniaga, bukan pengutip sewa,” katanya.

Mereka yang diberikan lesen DBKL 12 tahun dulu, tetapi didapati menyewakan lesen tersebut kepada orang lain juga tidak akan dibenarkan berniaga.