Penjawat awam dilarang pegang jawatan dalam parti politik

Ketua pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, mesyuarat bersama Jemaah Menteri pada 1 Nov lepas, memutuskan penjawat awam dilarang terlibat dalam politik. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Penjawat awam di negara ini tidak dibenarkan untuk memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik, kata ketua pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata, dasar ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan supaya penjawat awam tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Dalam mesyuarat bersama Jemaah Menteri pada 1 Nov lepas, kita sudah putuskan larangan penjawat awam terlibat dalam politik.

“Bagi menghormati hak asasi manusia, penjawat awam boleh terlibat dalam parti politik, tetapi bagi menjamin (mereka) kekal neutral, penjawat awam tidak dibenarkan memegang jawatan atau bertanding dalam sebarang jawatan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Turut hadir, menteri besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan setiausaha kerajaan Negeri Sembilan Razali Ab Malik.

Katanya, bagaimanapun ketika ini beberapa perkara sedang diperhalusi sebelum pekeliling mengenainya dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memastikan penjawat awam mematuhi perkara tersebut.

“Keputusan itu sudah ada, kami tengah sediakan satu pekeliling untuk pastikan perkara ini diikuti, dalam masa sama masih ada sedikit lagi kajian masih perlu dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairul turut memberi amaran kepada penjawat awam untuk tidak mengeluar atau menyebarkan sebarang kenyataan tidak benar berkenaan kerajaan dan sekiranya mereka melakukannya tindakan tegas akan diambil.

“Kita sedang memerhati mana-mana penjawat awam yang menyebarkan maklumat tidak benar, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga berkata dalam tempoh 3 bulan lalu pihaknya mengambil tindakan tatatertib terhadap 3 penjawat awam atas kesalahan menyebar maklumat tidak benar.