Permaisuri kini guna tulisan Jawi di Twitter

Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

PETALING JAYA: Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini menggunakan tulisan Jawi di Twitter di tengah-tengah kontroversi mengenai pengajarannya di sekolah vernakular.

Permaisuri yang popular itu mula menggunakan tulisan Jawi pada 28 Dis lalu, selepas mempertahankan langkah kerajaan memperkenalkan tulisan itu sebagai sebahagian subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Ia dibuat tengah-tengah penentangan beberapa pendidik bukan Melayu, mengatakan pengajaran Jawi adalah sebahagian agenda memperluaskan Islamisasi di sekolah Malaysia.

Dalam tweet terbarunya semalam, Tunku Azizah mempersoalkan kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan menentukan isi kandungan sukatan pelajaran.

“Anak-anak saya juga ke sekolah kerajaan. PIBG hanya untuk menjaga kebajikan dan mutu pelajaran yang disampaikan oleh guru,” tulisnya dalam tulisan Jawi.

Ogos lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, pengajaran tulisan Jawi kepada murid tahun 4 di sekolah vernakular mulai tahun ini perlu mendapat persetujuan ibu bapa dan PIBG.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, tulisan Jawi hanya boleh dilaksanakan di sekolah vernakular dengan persetujuan 51% ibu bapa dan PIBG.

Tweet Jawi Tunku Azizah menerima pujian daripada pengikut Twitternya, termasuk bekas ketua polis negara, Musa Hassan dan bekas menteri Syed Hamid Albar.

“Bravo Tuanku. Bercakap mengenai kebenaran. Malah orang Inggeris mengiktiraf warisan ini,” tulis Syed Hamid.

Permaisuri sebelum ini berkata adalah satu kelebihan mengetahui bagaimana menulis dalam tulisan Jawi serta menguasai kemahiran bahasa tambahan.

Tunku Azizah memberikan contoh anaknya yang belajar bahasa Mandarin, serta kakak iparnya, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang mempunyai major dalam bahasa Mandarin dari Universiti Oxford.

“Tidak ada ruginya belajar Jawi atau bahasa dan kaligrafi lain,” katanya.