PGA Sarawak rampas rokok seludup lebih RM3 juta

Antara rokok seludup bernilai hampir RM3.7 juta yang dirampas PGA Sarawak sejak 1 Jan lalu.

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak melakar kejayaan besar dengan merampas 15,143 karton rokok seludup bernilai hampir RM3.7 juta dalam 3 serbuan berasingan, kata Pesuruhjaya Polis negeri, Ramli Din.

Katanya, serbuan itu melibatkan 3 premis di Kuching, daerah Padawan dekat sini dan di Sarikei – bahagian tengah Sarawak, antara 11 pagi 1 Jan dan 1.30 tengah hari semalam, dengan aktiviti itu dipercayai didalangi satu sindiket penyeludupan.

“Bagi kes yang pertama di Kuching kelmarin, satu pasukan terdiri daripada 17 anggota PGA dan 3 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu sebuah rumah teres 2 tingkat di Tabuan Jaya,” katanya dalam sidang akhbar di Briged PGA Sarawak semalam.

Ramli berkata, pemeriksaan di rumah terbabit membawa kepada rampasan 9,800 karton rokok putih dan keretek seludup, selain sebuah van dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2.35 juta.

“Seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun ditahan di premis berkenaan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.”

Katanya, kes ke-2 berlaku di Padawan kelmarin dengan 7 anggota PGA menyerbu sebuah premis di pekan Batu 10 dan merampas 1,123 karton rokok seludup serta sebuah lori.

“Nilai rampasan barangan dari serbuan tersebut sebanyak RM303,000 dan semua barang kes ini dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk siasatan lanjut.”

Beliau berkata, serbuan ke-3 dibuat di sebuah rumah di Sarikei pada 1.30 tengah hari semalam membabitkan rampasan 2,300 karton rokok putih seludup bernilai RM529,000 dan 1,920 karton rokok keretek bernilai RM480,000.

Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi antara 6 bulan hingga setahun dengan membawa masuk rokok itu melalui jalan laut dan darat dari sebuah negara jiran.

“PGA membuat intipan di antara 2 minggu dan sebulan di premis terlibat sebelum bertindak membuat serbuan ini. Saya mengucapkan syabas kepada PGA Sarawak yang berjaya membongkar sindiket penyeludupan rokok ini.”