Polis nafi laporan ujian poligraf Yusoff Rawther sudah diketahui

Muhammad Yusoff Rawther dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 Nov mendakwa menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan lucah yang didakwa dilakukan Anwar pada 2 Okt 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Polis hari ini menafikan laporan satu blog yang mendakwa mempunyai maklumat berhubung keputusan ujian poligraf melibatkan bekas pembantu presiden PKR, Muhammad Yusoff Rawther, berhubung siasatan tuduhan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim.

“Pihak polis tidak pernah mendedahkan hasil ujian tersebut. Ia hanya digunakan untuk membantu siasatan polis,” kata ketua penolong pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, sewaktu dihubungi FMT.

Blog berkenaan memetik sumber mendakwa menerima maklumat bahawa ujian poligraf Yusoff pada 17 Dis lepas adalah benar, bahkan perkara berkenaan turut dipaparkan di Facebook “Solidariti buat Muhammed Yusoff Rawther”.

Pada 23 Dis, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis sedang berusaha mengesan keberadaan Anwar pada tarikh insiden serangan seksual yang didakwa bekas pembantunya itu.

Keberadaan Anwar menjadi aspek siasatan kerana tarikh kejadian itu sama dengan tarikh berlangsungnya kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Yusoff dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 Nov mendakwa menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan lucah yang didakwa dilakukan Anwar pada 2 Okt 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Anwar menafikan tuduhan itu dengan berkata, pada tarikh itu beliau giat berkempen bagi PRK Port Dickson dan menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur, sebelum kembali semula ke Port Dickson.

Terdahulu media melaporkan ujian poligraf merupakan antara pilihan yang dipertimbangkan pegawai penyiasat dalam siasatan kes itu.

Pada 9 Dis, Yusoff hadir untuk menjalani ujian poligraf, dan kemudiannya memberi keterangan di Bukit Aman lebih 7 jam susulan akuan bersumpahnya sebelum itu.

Keesokan harinya, beliau hadir buat kali kedua untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang mengendalikan kes itu.

Anwar pula hadir ke Bukit Aman pada 12 Dis bagi memberikan keterangan. Polis turut menghantar anggota penyiasat ke rumah Anwar selepas itu.