Rasai keunikan Tahun Melawat 2020 di Negeri Sembilan!

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Razali Ab Malek bersama pimpinan barisan kerajaan Negeri Sembilan dan pihak Lexis Hibiscus, Port Dickson, Mandy Chew Siok Cheng.

Hotel bunga raya Selat Melaka, Lexis Hibiscus Port Dickson menjadi pembuka tirai Tahun Melawat Malaysia 2020 bagi Negeri Sembilan.

Acara tersebut diadakan serentak di 22 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Razali Ab Malek, pihaknya memberi fokus kepada eko-pelancongan, warisan budaya dan pantai sebagai tarikan pelancong untuk berkunjung ke Negeri Sembilan.

“Kita mempunyai makanan yang menjadi ‘signature’ di Negeri Sembilan pelancong boleh merasai sendiri, kita ada Gunung Datuk sebagai tempat menarik untuk dikunjungi dan kira sedang meningkatkan beberapa infrastruktur di situ, kita juga ada Gua Batu Maloi di Negeri Sembilan yang sekarang ini kita sedang menambah beberapa jumlah pengiring (porter) bagi tujuan keselamatan supaya semuanya berjalan dengan lancar,” katanya pada sidang media di Port Dickson Negeri Sembilan.

Malah katanya Lexis Hibiscus sendiri menjadi tarikan kepada pelancong luar negara untuk berkunjung ke negeri itu.

Membuktikan perkara tersebut, Razali berkata lebih 300 pelancong dari Taiwan, Hong Kong dan China, Singapura dan pelancong tempatan telah disambut ketika Tahun Melawat Malaysia 2020 dirasmikan dalam masa 30 minit.

Pelancong dari Taiwan dipakaikan selendang kain batik sebagai simbolik perasmian Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

“Ini menandakan Lexis Hibiscus mempunyai daya tarikan dan ruangnya juga besar untuk menerima kapasiti pengunjung yang ramai,” ujarnya.

Segala tarikan itu jelasnya lagi adalah selaras dengan matlamat tahun ini untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 juta resit pelancongan.

Sasaran itu dinyatakan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad agar menjadikan VM2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

Tambah Razali lagi, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan agensi perhotelan untuk mengenakan kadar berpatutan kepada pengunjung berikutan masalah ekonomi yang melanda negara kini.

“Kalau cakap mencabar, 2019 pun tahun mencabar juga dari segi ekonominya, jadi kali ini kita akan bincang dengan pihak hotel, kita minta agensi pelancongan untuk tidak mengenakan harga yang terlalu tinggi, dan sesuai dengan pakej yang ada.

Selain itu kita juga mensasarkan kepada negara Asean untuk datang melancong ke negara kita, “ujarnya.

Menurut Presiden Lexis Hotel Group, Mandy Chew Siok Cheng pihaknya menyokong setiap usaha bagi meningkatkan jumlah pelancong di Negeri Sembilan khususnya.

Perasmian tahun baru 2020 dibuat gilang gemilang dengan percikan bunga api tepat jam 12 tengah malam.

“Bagi Lexis Hibiscus, kita ingin menjadikan tempat ini sebagai destinasi perkahwinan dan kita berharap kita mempunyai kelebihan sama seperti Thailand dan Indonesia.

“Kita juga ingin semua generasi dari nenek sehingga cucu melawat Lexis Hibiscus dan menikmati percutian di sini dengan sebaiknya,” katanya pada siang media tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]