Sarawak persoal pelantikan pengerusi Unimas

Kamal Mat Salih mengambil alih jawatan pengerusi Unimas bermula 1 Jan tahun ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak meminta penjelasan Putrajaya berhubung pelantikan Kamal Mat Salih sebagai pengerusi keempat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Pejabat Ketua Menteri hari ini menyuarakan kekecewaan atas kegagalan Putrajaya merujukkan perkara itu kepada kerajaan negeri.

“Telah dijelaskan bahawa pengerusi lembaga Unimas selama ini dilantik selepas berunding dengan kerajaan negeri dan kerajaan negeri juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan beliau secara rasmi sebelum pengumuman dibuat.

“(Rundingan) ini merupakan proses yang digunakan sejak pelantikan pengerusi pertama, Bujang Mohd Nor; pengerusi kedua, Hatta Solhi dan pengerusi ketiga Sulong Matjeraie, yang tempoh lantikannya sepatutnya tamat pada 30 Apr 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, dilaporkan bahawa Kamal, yang merupakan pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) akan menggantikan Sulong sebagai pengerusi lembaga pengarah Unimas.

Tempoh lantikan 3 tahun Sulong, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, ditamatkan pada 20 Dis tahun lepas, hanya 19 bulan selepas dilantik pada 1 Mei 2018.

Kamal akan menjadi rakyat bukan Sarawak pertama dilantik ke jawatan itu kerana semua pengerusi sebelumnya merupakan rakyat negeri tersebut.

Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor, dekan dan naib canselor di Universiti Sains Malaysia dari 1973 ke 1985, dan memimpin beberapa agensi kerajaan.

Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju (dari 1996 ke 1999) itu dijangka memimpin lembaga Unimas untuk tempoh 3 tahun bermula 1 Jan tahun ini hingga 31 Dis 2022.