Siasatan dalaman berkait dakwaan campur tangan kehakiman digantung susulan siasatan polis, kata ketua hakim

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, beliau tidak tahu perkembangan siasatan polis dan sama ada mereka mengemukakan laporan atau kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

PUTRAJAYA: Siasatan dalaman oleh badan kehakiman berhubung akuan afidavit hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer yang mengandungi dakwaan campur tangan badan kehakiman, digantung kerana siasatan polis, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata beliau tidak tahu perkembangan siasatan polis dan sama ada mereka telah mengemukakan laporan atau kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Ia (siasatan dalaman) digantung kerana polis jalankan siasatan. Pihak polis datang dan menemu bual kami (hakim).

“Keputusan yang diambil pihak pengurusan atasan semasa itu (semasa tempoh perkhidmatan bekas ketua hakim negara Richard Malanjum) adalah untuk menangguhkan dulu siasatan dalaman kerana polis sedang menjalankan siasatan,” katanya kepada media apabila ditanya berhubung siasatan dalaman oleh badan itu.

Ketua hakim negara berkata demikian semasa sesi bertemu media di pejabatnya di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Tengku Maimun berkata, anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo menulis kepadanya berhubung perkara itu.

“Saya beritahu beliau saya tidak boleh jalankan siasatan atau teruskan siasatan yang dimulakan Tan Sri Richard Malanjum kerana konflik kepentingan memandangkan saya seorang daripada 3 hakim dalam panel yang mendengar kes rayuan hasutan Karpal (di Mahkamah Rayuan).

“Saya sendiri beritahu Sangeet bahawa aduan itu berkaitan dengan kes bapanya, jadi saya tidak boleh terlibat dalam siasatan berkaitan perkara itu. Dia faham,” kata Tengku Maimun.

Pada 12 Jul 2019 Sangeet memberitahu media beliau membuat permohonan rasmi kepada Tengku Maimun, yang menggantikan Malanjum sebagai ketua hakim negara yang baru, untuk menyiasat semula perkara itu.

Pada 22 Okt 2019 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang difailkan Sangeet berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan bapanya.

Pada 14 Feb 2019, Hamid Sultan memfailkan afidavit mengandungi 63 halaman menyokong saman pemula yang difailkan Sangeet.

Dalam saman pemula tersebut, Sangeet memohon antara lain suatu deklarasi bahawa ketua hakim negara gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti badan itu apabila gagal melengkapkan siasatan berkaitan 2 dakwaan campur tangan badan kehakiman.

Dakwaan pertama mengenai keputusan rayuan kes hasutan mendiang ayahnya Karpal Singh dan dakwaan kedua, dalam kes penukaran agama Islam melibatkan anak guru tadika M Indira Gandhi.

Pada 30 Mei 2016, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengekalkan sabitan kesalahan menghasut Karpal yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Feb 2014 berhubung kenyataan yang dibuat perayu pada 2009 mengenai tindakan Sultan Perak menyingkirkan menteri besar ketika itu.

Panel 3 hakim diketuai hakim Mohtarudin Baki. Hakim Kamardin Hashim sependapat dengan Mohtarudin, tetapi Tengku Maimun menentang.

Pada 28 Mac 2019, panel 7 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya ketika itu, Zaharah Ibrahim, membebaskan Karpal daripada pertuduhan hasutan, memutuskan terdapat salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaannya.

Karpal Singh, seorang peguam dan ahli politik terkemuka, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Perak pada awal pagi 17 April 2014.

Sangeet seorang peguam dan mempunyai firma guaman sendiri.

Berhubung isu lain, Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membuat aduan melalui saluran yang betul jika mereka mengetahui tentang salah laku kehakiman.

Beliau berkata, ini adalah untuk mengelakkan badan kehakiman daripada tercemar.

“Ini kerana apabila anda memberitahu seluruh dunia, ia bukan hanya mencemarkan badan kehakiman, ia juga akan mencemarkan negara,” katanya.