Slogan anti-Islam diconteng berhampiran masjid di London

Bangunan Pusat Islam Brixton Utara. (Gambar Google map)

PETALING JAYA: Sebuah bangunan berhampiran masjid dan pusat kebudayaan di Brixton, selatan London, diconteng dengan slogan anti-Islam pada Rabu.

Memetik laporan Alaraby, polis Metropolitan London berkata siasatan sedang dijalankan berhubung kejadian tersebut.

“Kami sedang bekerjasama dengan Majlis Lambeth untuk memastikan lukisan yang berunsur serangan itu dipadamkan secepat mungkin.

“Semua anggota masyarakat kami mempunyai hak untuk menjalani kehidupan seharian tanpa rasa takut terhadap penderaan lisan, fizikal atau tulisan. Met tidak bertolak ansur dengan apa-apa bentuk diskriminasi dan kami komited untuk menangani kesalahan seperti ini secepat mungkin.” katanya.

Datuk Bandarnya, Sadiq Khan mengecam insiden tersebut di Twitter.

“Jijik mendengar slogan Islamofobia disembur dengan cat berhampiran Pusat Islam Brixton Utara. @Metpoliceuk sedang bekerjasama dengan Majlis Lambeth untuk memadamkannya, namun biar saya jelas: semua prejudis adalah pengecut dan penjenayah akan berdepan undang-undang,” tulisnya.