Tentera Australia guna kapal pindahkan mangsa kebakaran hutan

Sekitar 1,000 orang mangsa sepatutnya sudah dibawa keluar dari bandar Mallacoota di mana penduduknya terkandas di tepi pantai sejak malam Tahun baru. (Gambar AP)

SYDNEY: Tentera Australia hari ini memindahkan ratusan mangsa yang terperangkap di sebuah bandar di bahagian tenggara dengan kapal, ketika negara itu bersiap sedia berdepan kemungkinan situasi kebakaran hutan menjadi lebih buruk.

Kapal HMAS Choules milik tentera laut yang berlabuh di bandar Mallacoota, di mana penduduk terkandas di tepi pantai sejak malam Tahun Baru, membawa keluar mangsa, barangan peribadi dan haiwan peliharaan masing-masing.

Pengangkutan laut satu-satunya jalan keluar dari bandar berkenaan ketika ini dan setiap perjalanan memakan masa sehari suntuk atau lebih.

“Sekitar 1,000 orang sepatutnya sudah dibawa keluar dari kawasan itu sehingga tengah hari tadi,” kata Perdana Menteri Scott Morrison.

Sekurang-kurangnya 20 orang maut, puluhan hilang dan lebih 1,300 rumah musnah akibat kebakaran hutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan kawasan yang terjejas seluas sekali ganda saiz Belgium atau Hawaii.

Dengan suhu dijangka meningkat hingga 40 darjah selsius esok, darurat diisytiharkan membabitkan sebilangan besar kawasan tenggara Australia.