Tuntut hak perairan, Malaysia tidak takut tindak balas China, kata Saifuddin

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, pada 17 Dis, Malaysia membuat penghujahan separa berhubung kawasan perairan lautnya kepada CLCS bagi kawasan utara Laut China Selatan.

PUTRAJAYA: Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia akan meneruskan penghujahan separa berhubung perairan laut utara Laut China Selatan kepada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Batas-batas Pelantar Benua (CLCS).

Beliau berkata, walaupun tindakan Malaysia menerima bantahan daripada China, namun pihaknya tidak gentar dan akan meneruskan usaha itu untuk menuntut hak perairan negara.

“Jika kami takut, kami tidak akan mengemukakan tuntutan kami. Bantahan China itu kami memang sudah dijangkakan dan itu perkara yang normal.

“Kami akan terus konsisten menuntut hak perairan, katanya pada sidang media semasa mengumumkan pencapaian Kementerian Luar 2019 serta sasaran pencapaian 2020 kementeriannya.

Pada 17 Dis lalu, Malaysia membuat penghujahan separa berhubung kawasan perairan lautnya kepada CLCS bagi kawasan utara Laut China Selatan.

CLCS merupakan badan yang menyelia pelaksanaan Konvensyen PBB mengenai undang-undang laut (Unclos) berkenaan penetapan batas pelantar benua melangkaui 200 batu nautika dari “baseline” (kawasan pantai cetek), iaitu garis dari mana keluasan kawasan perairan laut diukur.

Malaysia membuat penghujahan itu pada 12 Dis, berkenaan batas-batas pelantar benua, selaras dengan Perkara 76, Perenggan 8 Unclos.

Dalam penghujahan itu, Malaysia berkata, “ia adalah penghujahan separa untuk baki pelantar benua Malaysia melangkaui 200 batu nautika di bahagian utara Laut China Selatan.

Saifuddin juga berkata, penghujahan itu dibuat pada Dis lalu disebabkan ia merupakan masa terbaik untuk berbuat demikian

Beliau berkata, Malaysia akan meneruskan usaha menuntut hak negara ke atas perairan itu dengan cara diplomatik.

“Kita akan tuntut perairan itu mungkin hingga ke peringkat terakhir melibatkan arbitrasi,” katanya.

Saiffudin juga berkata, beliau tidak gentar akan apa-apa jua kemungkinan yang mungkin menyusul daripada China selepas ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia bimbang sekiranya menerima tindak balas China dalam perkara ini dalam bentuk kenaikan tarif import.

“Kalau kami takut memikirkan perkara itu, kami tidak mengemukakan tuntutan kami terhadap hak perairan,” katanya.

Akhbar South China Morning Post melaporkan bulan lepas bahawa China membantah langkah Malaysia memfailkan penghujahan kepada PBB dan menggesa CLCS tidak menimbangkan kes negara.