UK cari ‘kera sumbang’ bantu beri idea baru kepada kerajaan

Dominic Cumming ialah penasihat kanan kepada Boris Johnson. (Gambar AP)

LONDON: Penasihat kanan kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang merancang Brexit dan mengetuai kempen pilihan raya majikannya pada bulan lalu, sedang mencari “kera sumbang dengan kemahiran luar biasa” untuk memberi idea baru kepada kerajaan.

“Kami mahu meningkatkan prestasi dan menjadikan saya kurang penting – dan tidak diperlukan sangat dalam masa setahun,” kata Dominic Cumming dalam catatan di blognya pada Khamis.

“Kita tidak mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk menyokong perdana menteri dan menteri. Ini perlu diubah dengan segera supaya kita boleh berkhidmat kepada rakyat secara betul.”

Cummings yang secara terang-terangan memandang rendah cara sektor awam Britain beroperasi, berkata beliau bertuah dapat bekerja dengan sesetengah pegawai hebat dalam beberapa bulan ini.

“Tetapi, ada beberapa masalah besar berhubung cara kerajaan British membuat keputusan.”

Cummings ialah seorang daripada orang kanan di sebalik kejayaan kempen Undi Keluar pada pungutan suara Brexit 2016 dan disifatkan bekas perdana menteri John Major sebagai “anarkis politik”.

Katanya, Britain sedang mencari saintis data, jurutera perisian, ahli ekonomi, pakar komunikasi dan pembuat dasar, pengurus projek, penyelidik muda dan “kera sumbang dengan kemahiran luar biasa”.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan individu yang tidak pernah melanjutkan pelajaran di universiti dan berjaya keluar daripada “tempat sengsara”.