Wanita AS dipecat selepas pakai tudung di tempat kerja

Folake Adebola dibuang kerja selepas mengambil keputusan bertudung ke tempat kerja.

PETALING JAYA: Seorang pekerja beragama Islam di sebuah restoran rantaian makanan segera di Dallas, Amerika Syarikat dipecat selepas mengambil keputusan bertudung ke tempat kerja.

Dalam video 45 saat yang dikirim di Twitter, Folake Adebola mendedahkan reaksi bosnya terhadap tudung yang dipakainya.

Adebola berkata dia memeluk Islam pada Ogos dan tidak memakai tudung ketika dia mula bekerja di restoran tersebut.

“Saya memeluk Islam tidak lama dahulu dan saya mula memakai tudung, saya pergi kerja hari ini dan dipecat kerana tudung saya tidak sebahagian daripada “kod pakaian” nampaknya dan saya tidak dibenarkan memakainya. Jangan datang ke chicken express di Fort Worth!!” tulisnya.

Bosnya berkata tudung adalah perkara yang berbeza yang menunjukkan sebahagian kehidupan peribadi Adebola di luar sana.

“Kerja ini memerlukan pakaian seragam yang khusus. Itu bukan sebahagian daripada seragam khusus. Anda sebagai pekerja yang dibayar tidak boleh memakainya,” kata lelaki itu.

Klip itu mendapat reaksi di media sosial yang kebanyakannya meminta Adebola menyaman restoran makanan segera tersebut.

“Beritahu majikan kamu ia menyalahi Artikel 7 Akta Hak Sivil 1964. Ia memberi hak kepada kamu untuk memakai hijab di tempat kerja. Menidakkan hak kamu adalah melanggar hak sivil. Kamu juga boleh memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Sama Rata,” tulis seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi berkata: “Saya betul-betul berjuang untuk mendapatkan pekerjaan di mana hijab menjadi halangan.”