3 penuntut Malaysia cedera dalam rompakan di Afrika Selatan

Menurut Wisma Putra, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria memantau keadaan terkini mangsa dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Tiga penuntut Malaysia di University of Newcastle cedera dalam insiden rompakan di Newcastle, Durban, Afrika Selatan pada Jumaat.

Wisma Putra menerusi kenyataan malam ini memaklumkan dalam kejadian itu, seorang mangsa telah ditembak di bahagian kaki, manakala 2 lagi ditikam.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke hospital tempatan untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria sedang memantau keadaan terkini kesemua mangsa dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya.