Benarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan masuk sekolah kerajaan hanya omongan kosong, kata aktivis

Sebahagian kanak-kanak yang bersekolah di sebuah sekolah alternatif di Semporna, Sabah.

PETALING JAYA: Seorang aktivis sosial menyifatkan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan mendaftarkan diri di sekolah kerajaan di Sabah sebelum ini, sebagai omongan kosong.

Mukmin Nantang dari Borneo Komrad berkata pengumuman tergesa-gesa itu sekadar propaganda kementerian yang tidak menjadi kerana hakikatnya pada hari ini masih ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan di negeri itu belum mendapat akses kepada pendidikan.

Katanya, KPM sepatutnya menyediakan gerak kerja lebih terperinci supaya pelaksanaan inisiatif tersebut mempunyai strategi yang kukuh sekali gus dapat direalisasikan.

Aktivis sosial dari Borneo Komrad, Mukmin Nantang.

“Kerajaan harus tukar cara berfikir bahawa tidak ada diskriminasi warna kulit, bangsa, status kewarganegaraan dan sebagainya dalam pendidikan. Kan namanya pendidikan untuk semua?

“Tetapi hakikatnya pelaksanaannya hanya untuk yang ada kewarganegaraan sahaja,” katanya sambil menambah pelaksanaan tersebut sebenarnya sudah pun dimulakan sejak pemerintahan kerajaan lama.

Mukmin, 26, merupakan pengasas sekolah alternatif di beberapa daerah di Sabah sejak 2015.

Beliau percaya, setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira status sosial yang mereka miliki.

Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik sebelum ini pernah menegaskan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah boleh bersekolah di sekolah kerajaan mulai 2019 dan ia tidak menjejaskan kemudahan dan proses pembelajaran murid tempatan.

Mengulas lanjut, Mukmin berkata langkah segera yang perlu diusahakan bagi memastikan kanak-kanak tanpa kerakyatan boleh memasuki sekolah kerajaan adalah dengan mendokumentasikan data serta butiran peribadi kanak-kanak itu sebelum menerima mereka masuk ke sekolah.

“Dokumentasikan dahulu nama, nama ibu bapa, alamat dan pekerjaan, kemudian barulah mudah untuk dimasukkan ke dalam sistem persekolahan,” katanya.

Maszlee sebelum ini dilaporkan berkata kementerian menerima kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen lengkap seperti sijil lahir atau kad pengenalan untuk ke sekolah aliran kebangsaan dengan syarat ibu atau bapa perlu mengemukakan surat pengesahan atau perakuan ketua kampung bahawa kanak-kanak tersebut merupakan anak mereka.

Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak itu juga perlu berusaha menguruskan dokumen pengenalan diri yang diperlukan dengan hadir ke jabatan pendidikan negeri masing-masing untuk tujuan tersebut.

Mukmin menambah, kerajaan boleh mewujudkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kolektif, pihak universiti dan mahasiswa yang menjalankan aktiviti dan kajian mengenai pendidikan terhadap kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Katanya, kerajaan juga boleh membantu kanak-kanak itu dengan mendukung dan menyalurkan dana yang diperlukan kepada sekolah-sekolah alternatif sedia ada.

FMT sedang mendapatkan maklum balas KPM berhubung kemaskini maklumat kanak-kanak tanpa kerakyatan yang diterima masuk ke sekolah-sekolah kebangsaan.