Bersih persoal masa beri peruntukan pembangunan kepada penduduk Kimanis

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick (kanan) memeriksa surau di Kampung Pantai Sri Gading di Membakut.

BEAUFORT: Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 tidak gembira berhubung pengumuman peruntukan pembangunan dan tindakan pegawai kerajaan menjelang pilhan raya kecil (PRK) Kimanis bulan ini.

Bersih cawangan Sabah memberitahu satu sidang media hri ini bahawa terdapat sekurang-kurangnya 2 projek yang diumumkan dalam tempoh 2 hari lepas yang boleh dianggap tidak beretika.

Projek pertama melibatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick yang mengumumkan naik taraf jalan ke sebuah surau di Kampung Pantai Sri Gading di Membakut, salah satu kerusi negeri di Parlimen Kimanis.

Perkembangan kedua ialah tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memberi cek bernilai RM90,000 untuk menaik taraf sebuah jeti di Kampung Biau, Bongawan, satu lagi kerusi negeri di situ.

“Yang ketiga ialah langkah Adun Ben Chong dan Junz Wong memberi bantuan kepada mangsa banjir di Binsulok, Membakut semalam,” katanya.

“Semua ini boleh dianggap tidak beretika kerana masanya yang hampir dengan PRK Kimanis dan boleh menjurus kepada dorongan mengundi.”

Bersih menggesa parti politik supaya mematuhi undang-undang dengan berkata, ia akan menggerakkan pemerhati untuk memantau parti dan calon yang bertanding.

“Kami akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa berkenaan jika mereka didapati melanggar peraturan pilihan raya,” katanya lagi.

Bersih juga berkata, mereka menjemput kedua-dua calon yang bertanding di Kimanis ke satu forum pada 10 Jan dengan tempatnya ditentukan kemudian sebaik sahaja calon terbabit bersetuju untuk hadir.

Calon Barisan Nasional Mohamad Alamin akan berdepan calon Warisan Karim Buang, dan kedua-dua mereka dijangka memperhebat kempen masing-masing menjelang hari mengundi pada 18 Jan depan.