BN lawan Warisan di Kimanis

Calon BN, Mohamad Alamin (kiri) dan calon Warisan, Karim Bujang akan berentap pada PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan.

BEAUFORT: Pemilihan merebut kerusi Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini menyaksikan pertandingan 1 lawan 1 antara Barisan Nasional dan Warisan.

BN cuba mempertahankan kerusi yang dimenangi selama 3 penggal sejak 2004 dengan mempertaruhkan Mohamad Alamin, yang akan dicabar calon Warisan, Karim Bujang.

Nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jupari @ Jupry Etok, yang juga pegawai daerah Beaufort, selepas penamaan calon ditutup di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Dun Banir 10 pagi tadi.

Alamin, 48, seorang peguam dan ketua Umno Kimanis dan pernah menyandang kerusi DUN Bongawan, salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri bawah Parlimen Kimanis.

Beliau tewas di Bongawan di tangan calon Warisan, Dr Daud Yusof pada pilihan raya umum Mei 2018.

Mohamad Alamin tiba di pusat pencalonan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Dun Banir di Beaufort.

Karim, 66, seorang bekas veteran Umno dan Adun Bongawan selama 5 penggal, bertanding di Kimanis pada PRU-14 tetapi kalah tipis di tangan bekas orang kuat Umno, Anifah Aman. Karim pernah menjadi pembantu menteri negeri.

BN menang Kimanis dengan lebihan 156 undi, memperoleh 11,942 undi manakala Karim meraih 11,786 undi.

Bagaimanapun, pillihan raya kecil diadakan kerana petisyen pilihan raya Karim, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah.

Karim diiring ke pusat penamaan calon oleh pimpina Warisan, Upko dan Pakatan Harapan negeri dan persekutuan, terutama Presiden Warisan Shafie Apdal, Timbalan Presiden PPBM Mukhriz Mahathir dan Ketua PPBM Sabah Hajiji Noor.

Karim Bujang tiba di pusat penamaan calon.

Alamin diiring bekas perdana menteri Najib Razak, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 14 Jan. Kerusi DUN lain di Kimanis adalah Membakut.

Terdapat 29,644 pengundi di Kimanis, yang terdiri daripada 52% Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam dan 6% Cina.

Ini merupakan pilihan raya kecil ke-2 di Sabah dan ke-10 di negara ini selepas PRU Mei 2018.