Dr M perlu calon berpengalaman, Tok Pa paling layak ganti Maszlee, kata PPBM Kelantan

Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamad dilihat paling layak dan berpengalaman bagi menggantikan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed dilihat sebagai pilihan terbaik untuk mengisi kekosongan jawatan menteri pendidikan selepas Maszlee Malik mengundurkan diri.

Timbalan pengerusi PPBM Kelantan, Sazmi Miah berkata, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memerlukan individu yang berpengalaman untuk menerajui Kementerian Pendidikan dan tidak ada calon lain dalam Pakatan Harapan (PH) yang bukan menteri ketika ini kecuali Mustapa.

Katanya, Mustapa atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pa pernah meneraju jawatan menteri pengajian tinggi dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang memberi nilai tambah kepada Kabinet.

“PPBM Kelantan mengalu-alukan dan yakin dialah (Mustapa) yang terbaik dalam keadaan sekarang. Sekiranya Tok Pa dilantik, ia bukan sebab beliau berasal dari Kelantan, tetapi kerana beliau antara yang paling sesuai.

“Berbanding dengan calon yang disebut-sebut dan ahli Parlimen yang ada, baik daripada pembangkang, Tok Pa bukan sahaja paling berpengalaman, tetapi terbukti mempunyai prestasi terbaik, selain tiada kontroversi atau rekod buruk setakat beliau memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini,” katanya kepada FMT, sekali gus tidak menolak jika Mustapa dilantik sebagai menteri ia turut memberi manfaat kepada rakyat Kelantan dan PPBM negeri.

Mengulas cadangan supaya Nurul Izzah Anwar mengisi jawatan itu, Sazmi berkata, ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak mempunyai pengalaman dan buktinya terserlah dalam pelantikan Maszlee.

“Nurul Izzah tiada pengalaman dalam kerajaan, itu salah satu masalah Maszlee.

“Perdana menteri tidak boleh bergantung harap kepada populariti atau mengikut kaedah kuota atau ‘beri peluang’ untuk jawatan seperti kementerian utama ini.

“Perdana menteri perlukan menteri yang boleh menjiwai dan melaksanakan aspirasi beliau dalam merangka dasar yang berkesan untuk masa depan.

Beliau juga tidak boleh lagi mempertaruhkan visi pendidikan negara kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak arif mengenai selok belok pentadbiran awam negara,” katanya.

Terdahulu beberapa penganalisis dan ahli akademik juga mengemukakan pandangan sama bahawa Mustapa adalah antara calon paling layak untuk mengisi jawatan menteri pendidikan.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Shamsul Amri Baharuddin turut menyetujui pandangan itu.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Sivamurugan Pandian berkata, selain Mustapa, antara individu yang layak memegang portfolio itu ialah perdana menteri sendiri, Muhyiddin Yassin dan Saifuddin Abdullah

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuat kuasa 3 Jan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat perdana menteri.