Jangan cari pasal dengan anjing polis

Unit K9 terdiri daripada 150 anjing polis, termasuk baka German Shepherd, Belgian Shepherd dan Labrador.

KUALA LUMPUR: Apabila bercuti, P Ilango ternyata merindui sahabatnya, Leike yang sudah 8 tahun bersamanya.

“Apabila saya kembali, Leike sangat gembira melihat saya. Saya melayannya seperti anak sendiri. Kalau dia nakal, saya marah dia, tapi dia bekerja dengan baik. ”

Leike seekor anjing polis (K9), dan kerja-kerja yang dia lakukan bukan mudah. Antaranya Leike perlu menumpaskan penjahat yang sedang melarikan diri, mengesan dadah dan menjejaki orang hilang.

Ketua Unit M Saravanan memberitahu FMT anjing polis bukan sahaja perlu mencari orang hilang, adakalanya mereka perlu menghidu tinggalan mayat mereka.

“Ada kes di mana seorang suspek kes bunuh mengaku membunuh 3 tahun sebelum itu. Tetapi masa itu dia tak ingat tempat di mana dia tanam mangsanya. Unit K9 dipanggil untuk bantu cari mayat mangsa.

Ketua Unit K9, M Saravanan.

“Mereka membuat pencarian di satu kawasan hutan berbukit sekitar Seremban, dan walaupun sudah begitu lama, dengan hujannya dan tumbuh-tumbuhannya, anjing itu masih menjumpai mayat itu.

“Bagi kami, semua anjing yang berkhidmat adalah wira.”

Unit K9 secara rasminya ditubuhkan lebih 50 tahun lalu dengan 6 ekor baka German Shepherd, tetapi Saravanan beritahu anjing sebenarnya berkhidmat dengan pasukan polis sejak 1957 lagi, di mana mereka membantu memburu gerila komunis.

Unit itu kini mempunyai hampir 150 anjing, termasuk baka German Shepherd, Belgian Shepherd and Labrador, yang kebanyakannya dari Jerman dan Republik Czech.

Semua anjing-anjing yang baru tiba tidak terlatih dan dilatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur selama 16 minggu.

Mereka menjalani latihan yang susah, namun apabila selesai mereka boleh faham 20 arahan dalam Bahasa Melayu, dan boleh mengesan apa sahaja seperti titisan darah kering, kesan narkotik dan sisa bahan letupan.

Kemudian mereka akan ditugaskan bersama 155 penjaga K9 di salah satu daripada 20 seksyen seluruh negara.

Apabila mereka tidak mengejar penjenayah, anjing-anjing ini juga menjalankan tugas lain seperti mengawal rusuhan, mencari dan menyelamat, dan meronda di kawasan awam.

Penjaga Aznizam Bah Jada memeriksa sebuah motosikal apabila Gustav terhidu dadah.

“Kami meronda bersama K9. Orang ramai suka tengok mereka, malah ada yang mahu usap dan bergambar dengan mereka,” kata Saravanan.

“Rondaan mencegah jenayah. Setakat ini belum ada lagi orang berani buat jenayah depan anjing-anjing ini; saya rasa tiada siapa pun berani,” katanya.

Keyakinan itu berasas, kerana anjing-anjing ini mempunyai gigitan yang amat kuat dan apabila gigi bertemu tangan, mereka tidak akan lepas sehinggalah diarahkan penjaga.

Selain memastikan masyarakat selamat dan tenteram, tugas utama anjing-anjing ini masih membantu siasatan jenayah dengan mengesan barang-barang kes dan menewaskan penjenayah.

Penjaga dan anjing-anjingnya mempunyai hubungan jangka panjang dan sangat rapat.

Seorang penjaga memerhatikan Charles ‘menyerang’ sasaran.

“Seorang penjaga bersama anjingnya sehinggalah anjing itu bersara. Penjaga harus membersihkan dan membawa anjingnya bersenam setiap hari, dan menjaga kebersihan rumah anjing.”

Anjing-anjing itu boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa sahaja dan lazimnya akan berkhidmat selama 10 tahun sebelum bersara di rumah anjing. Undang-undang tidak membenarkan anjing-anjing itu dijual atau diserahkan kepada orang lain.

“Kami pastikan kebajikan anjing-anjing ini terjaga,” kata Saravanan.

Setiap penjaga berbangga apabila anjingnya memainkan peranan penting dalam siasatan, tetapi bagi Saravanan dan pasukannya, ia tidak dapat mengatasi kegembiraan hubungan antara manusia dan haiwan.

Seorang penjaga, Maxwell Fenny Tan sekarang bersama rakannya yang ke-4, Charles, yang baru sahaja tamat latihan 2 bulan lalu.

Tan, dari Sarawak, berkata hatinya pilu apabila terpaksa meninggalkan anjingnya apabila pulang ke kampung.

Roxcy dan penjaganya, Ee Wei Lun sedang bekerja. Anjing polis boleh mengesan apa sahaja seperti setitik dadah kering, dadah dan letupan.

“Apabila saya pulang ke kampung halaman, ia boleh jadi selama hampir 20 hari,” katanya.

“Tapi bila saya di lapangan terbang untuk kembali ke KL, saya rasa seronok kerana tidak lama lagi dapat jumpa anjing saya.”

Walaupun nama anjing-anjing ini, seperti Jambu, Bunga dan Manggis mungkin tidak akan masuk komik atau poster filem, tetapi mereka diabadikan pada satu tembok peringatan unit anjing polis, memperingati kesetiaan, ketabahan, dan pengorbanan mereka.

Kita yang berhempas pulas hanya untuk memastikan anak-anak anjing kita duduk apabila diarah hanya boleh mengagumi kebolehan K9.

Dalam hal melawan jenayah, anjing yang amat terlatih ternyata rakan yang paling boleh diharap.